Nasib malang Red Devils berterusan
PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan skuad kendaliannya berada dalam musim yang ‘malang’ setelah tumpas 10-11 kepada Villareal menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final Liga Europa awal pagi Khamis lalu.
Menurut Solkskjaer, kekalahan itu secara tidak langsung melengkapkan ‘nasib malang’ skuad The Red Devils yang gagal memenangi sebarang piala musim ini setelah hanya menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada kedudukan kedua di belakang Manchester City, tumpas 1-3 kepada Leicester City pada suku akhir Piala FA, tewas 0-2 kepada Manchester City pada separuh akhir Piala Liga, tewas 2-3 kepada RB Leipzig pada saingan Liga Juara-Juara.
“Secara keseluruhannya kami telah gagal malam ini, kami tidak beraksi sebagaimana yang sering kami lakukan sebelum ini.
“Walaupun bermula dengan baik, tetapi mereka (Villareal) yang berjaya menjaringkan gol dengan hanya satu peluang yang mereka miliki di sepanjang perlawanan berkenaan.
“Kami kemudiannya telah berusaha dan berjaya menyamakan kedudukan tetapi kami gagal mengawal perlawanan selain gagal mencipta peluang pada perlawanan berkenaan,” katanya.
Pada aksi final di PGE Arena Gdansk awal pagi Khamis, Villareal membuka jaringan menerusi Gerard Moreno pada minit ke-29, sebelum Edinson Cavani menyamakan kedudukan pada minit ke-55 bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Bagaimanapun kedua-dua pasukan dilihat buntu untuk menambah jaringan dan memaksa perlawanan berlanjutan hingga ke penentuan sepakan penalti.
Sepakan penalti oleh penjaga gol United, David de Gea berjaya diselamatkan penjaga gol Villareal, Geronimo Rulli yang sekali gus memastikan kemenangan skuad The Yellow Submarine itu.
Tambah Solskjaer, kesemua pemain United telah memberikan aksi terbaik masing-masing pada aksi final berkenaan.
Bagaimanapun katanya, kegagalan membawa pulang piala secara keseluruhannya nyata sesuatu yang mengecewakan.
“Sekarang masanya untuk kita melihat apakah kesalahan percaturan yang mungkin telah saya lakukan kerana kekalahan ini seolah-olah mengatakan bahawa saya tidak melakukan apa-apa untuk kejayaan pasukan.
“Secara keseluruhannya, ia bukanlah musim yang baik untuk kita, tetapi musim ini kami juga menunjukkan peningkatan kerana berjaya menamatkan saingan EPL pada kedudukan kedua,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!