Emery berikan kredit kepada Arsenal atas kejayaan
PENGENDALI Villareal, Unai Emery tetap memberikan kredit kepada bekas skuad kendaliannya, Arsenal yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada faktor yang membantu kejayaannya merangkul kejuaraan Liga Europa kali ini.
Menurutnya, biarpun berjaya mengemudi Arsenal ke final Liga Europa musim 2019 lalu (tewas 1-4 kepada Chelsea), namun Emery tetap menyifatkan kredit perlu diberikan kepada bekas skuad kendaliannya itu.
Malah Emery turut menafikan wujudnya persengketaan atau dendam terhadap bekas skuad kendaliannya itu apabila turut menyingkirkan skuad The Gunners itu pada peringkat separuh akhir Liga Europa kali ini.
“Ketika membimbing Arsenal kami bermain di final tetapi gagal mencapai kemenangan. Mungkin ia satu proses dan dari situ saya belajar banyak perkara untuk menang kali ini (mungkin).
“Saya juga cuba ‘mencipta’ sesuatu di mana-mana saya berada, samada ketika berada di England atau bersama Arsenal dan saya mengakui telah banyak belajar, menemui ramai orang, melihat kebudayaan-kebudayaan lain dan juga bola sepak.
“Saya menafikan wujud perasaan dendam kepada Arsenal. Apa yang saya cuba lakukan adalah untuk menikmati setiap detik tanpa mengira menang atau kalah,” katanya.
Pada aksi final di PGE Arena Gdansk awal pagi Khamis, Villareal menewaskan Manchester United 11-10 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan perlawanan.
Penjaga gol Villareal, Geronimo Rulli muncul wira skuad The Yellow Submarine itu apabila menyelamatkan sepakan penalti ke-11 United yang diambil oleh penjaga gol, David de Gea.
Mengulas mengenai keraguannya ketika dipecat oleh Arsenal pada musim 2020 lalu, Emery berkata, ia adalah sesuatu yang perlu ditempuhi oleh mana-mana individu dalam karier profesional mereka.
Namun katanya, keraguan yang sering timbul ketika ini adalah mengenai kesebelasan utama pemain yang mahu diturunkannya dalam mana-mana perlawanan bagi menjamin kejayaan pasukan.
“Apa yagn sering saya ragui ketika ini adalah mengenai pemain yang akan saya turunkan, mengenai pertukaran pemain selain plan yang akan saya lakukan pada sesi latihan pasukan.
“Apa pun, saya kini menikmati karier saya kerana saya sukakan bola sepak dan bekerja dalam dunia bola sepak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!