Azalina kembali desak Parlimen bersidang
JOHOR BAHRU- Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said sekali lagi mendesak agar Parlimen dapat bersidang dengan kadar segera, selepas kecewa dengan sikap kerajaan yang masih lagi ‘membisu’ terhadap cadangan itu sebelum ini.
Tegasnya, banyak persoalan dan kebimbangan yang dikemukakan ahli Parlimen di ‘luar tembok’ Dewan Rakyat tidak dapat dijawab dan ia disifatkan boleh melumpuhkan demokrasi.
Jelas Azalina, tiada cara lain untuk Malaysia bergerak maju dalam keadaan darurat ini, melainkan Parlimen bersidang semula.
“Untuk meminimumkan ‘drama’ yang tidak beralasan di Parlimen, kita boleh menetapkan Ordinan agar Parlimen dapat bersidang semula tanpa usul keyakinan untuk didengar, sehingga wabak Covid-19 dapat dikawal dan kekebalan sekurang-kurangnya 50 peratus dicapai.
“Selain itu, menetapkan agar tidak ada Pilihan Raya Umum (PRU) harus diadakan tetapi sebaliknya sebuah ‘Kerajaan Darurat Interim’ dengan kabinet darurat dibentuk, dengan perwakilan daripada semua parti politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Azalina, bagi mengurangkan risiko Covid-19, kerajaan perlu memastikan semua kakitangan Parlimen diberi vaksin termasuk semua anggota Parlimen dan senator.
Katanya, setakat ini kakitangan Parlimen tidak dianggap sebagai barisan hadapan sedangkan sebagai penjaga Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang menegakkan demokrasi, mereka adalah barisan hadapan.
Selain itu, bagi memudahkan prosiding Parlimen yang cekap, kerajaan diminta ‘melabur’ dalam persiapan untuk ‘Parlimen Virtual’ dan sistem ucapan ke teks.
“Kita boleh menguatkuasakan syarat korum untuk prosiding Parlimen secara langsung. Dewan Rakyat dan Dewan Negara cukup besar untuk memastikan jarak fizikal. Bagi mempromosikan ‘semak dan imbang’, gunakan Jawatankuasa Pilihan Khas sebagai alat alternatif untuk mewujudkan proses penyelidikan yang telus dan mempromosikan akauntabiliti Eksekutif.
“Untuk memastikan peruntukan dana konstituen dengan adil, alokasikan ‘Dana Covid-19 Konstituensi’ sebagai alat bipartisan untuk menetapkan semula, memulakan semula dan menyusun semula parti politik yang berbeza ke arah tujuan bersama iaitu memerangi pandemik Covid-19,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, untuk merapatkan ‘defisit kepercayaan’ antara rakyat dan pentadbir, kerajaan boleh ‘menggunakan’ anggota Parlimen yang telah dipilih oleh konstituen sebagai agen komunikasi dan penyebar maklumat kesihatan awam kepada rakyat.
“Lengkapkan kami dengan semua maklumat kesihatan yang diperlukan. Maklumat dan data mengenai Covid-19, termasuk mitos-mitos mengenai vaksin sehingga kami dapat membantu kerajaan.
“Kerajaan boleh mengurung rakyat tetapi pemerintah tidak boleh mengunci proses demokrasi. Kami telah mengalami kerugian yang cukup dengan mengorbankan hak demokratik dan hak asasi individu demi krisis kesihatan awam.
“Tidak dapat difahami mengapa Malaysia tidak dapat melampaui Ordinan Darurat. Memandangkan Covid-19 ada di sini untuk tinggal selama bertahun-tahun yang akan datang, kita tidak mampu berada dalam keadaan darurat selama-lamanya. Adakah kita kekal sebagai satu-satunya negara di dunia yang telah melumpuhkan Parlimen dalam masa krisis?” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!