Lapan orang mati insiden tembakan di San Jose
SAN JOSE - Seorang pekerja lelaki pengangkutan awam menembak mati lapan orang di pekarangan sebuah bangunan penyelenggaraan kereta api di San Jose pada Rabu sebelum dia menembak diri sendiri dalam satu kejadian tembakan terbaharu di Amerika Syarikat (AS).
Sejumlah orang lagi cedera dalam kejadian tersebut di selatan San Francisco itu sekali gus mencetuskan perdebatan tentang kawalan terhadap penggunaan pistol di AS.
Anggota-anggota penguat kuasa bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan 911 pada awal pagi yang melaporkan tentang berlakunya satu insiden tembakan, kata seorang anggota penguat kuasa undang-undang di Santa Carla, Russell Davis.
Bagaimanapun, tidak ada insiden berbalas tembakan antara anggota-anggota penguat kuasa undang-undang dengan pekerja pengangkutan awam itu yang merupakan suspek dalam kejadian tersebut.
Namun, Syerif Santa Clara, Laurie Smith berkata, suspek kemudian menembak diri sendiri selepas mengetahui kehadiran anggota-anggota penguat kuasa undang-undang.
Skuad bom dihantar ke lokasi tembakan selepas anjing-anjing agensi penguat kuasa undang-undang menghidu bau bahan letupan di tempat kejadian.
Suspek dikenali sebagai Samuel Cassidy iaitu seorang pekerja Pihak Berkuasa Pengangkutan Valley yang menyediakan perkhidmatan bas dan kereta api bagi penduduk San Jose yang merupakan Lembah Silikon untuk hampir sejuta orang di hab teknologi itu.
Kebanyakan mangsa yang terbunuh dan cedera itu ialah pekerja-pekerja pengangkutan awam tersebut.
Menurut AFP, bekas isteri suspek, Cecilia Nelms dilaporkan berkata, Cassidy kerap bercakap dengan nada marah tentang para pekerja dan bosnya.
Seorang bekas kekasih suspek pernah menuduh Cassidy merogol dan menderanya.
Polis San Jose turut menyiasat tentang kebakaran sebuah rumah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tembakan tersebut.
Ini kerana menurut beberapa laporan berita, kebakaran tersebut bermula dari rumah suspek sebelum insiden tembakan itu berlaku.
Sebelum ini, beberapa kejadian tembakan berlaku di kemudahan FedEx di Indianapolis, sebuah bangunan di California, sebuah kedai runcit di Colorado dan beberapa spa di Atlanta. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!