Tak malu dipanggil 'cleaner' PKRC

Ahmad Syafiq Syahmi membantu membersihkan kawasan sekitar Dewan A PKRC MITC Ayer Keroh, baru-baru ini.
Ahmad Syafiq Syahmi membantu membersihkan kawasan sekitar Dewan A PKRC MITC Ayer Keroh, baru-baru ini.
A
A
A

MELAKA - Pengalaman ditempatkan di Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh sejak Jumaat lalu memberikan satu kenangan bermakna bagi seorang pemuda dari Kampung Solok Gaung, Ayer Molek di sini.

Ahmad Syafiq Syahmi Baharudin, 28, dikenali sebagai 'cleaner' PKRC kerana sikapnya yang ringan tulang membantu menyapu sampah di kawasan Dewan A yang menempatkan pesakit lelaki.

Ahmad Syafiq Syahmi berkata, apa yang dilakukan adalah usaha kecil untuk meringankan beban kakitangan yang bertugas termasuk 'frontliner' lebih-lebih kemasukan pesakit di PKRC itu semakin meningkat bermula Isnin lalu.

Menurutnya, memandangkan katilnya berdekatan dengan dua kanak-kanak yang turut ditempatkan di PKRC berkenaan, menjadikan dia bertambah semangat untuk membantu membersihkan tempat tidur kanak-kanak tersebut.

Katanya, dia menyapu kawasan persekitaran agar kanak-kanak dua beradik itu berasa selesa dan tenang.

"Saya kasihan dua beradik itu yang masih kecil dan dimasukkan ke PKRC hanya ditemani pak ciknya.

"Lagipun banyak masa lapang dan saya tolong-menolong antara satu sama lain termasuk menyapu sampah di dalam dewan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Ahmad Syafiq Syahmi yang bekerja sebagai penolong pengurus di sebuah restoran berkata, dia juga tidak ambil hati disapa sebagai 'cleaner', malah bermula dari perkataan itulah dia mendapat ramai rakan baharu.

Artikel Berkaitan:

"Bila saya menyapu dari lorong ke lorong katil pesakit, ramai yang menyapa dan akhirnya menjadi rakan.

"Jadi, bila sudah dibenarkan pulang, rasa rindu dan sayang dengan kawan-kawan yang masih berada di PKRC. Saya mendoakan semoga mereka juga sembuh," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!