Bauksit: Penduduk kembali bimbang, resah
KUANTAN - Keputusan kerajaan membenarkan semula aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit selepas moratoriumnya tamat 31 Mac ini akan membangkitkan kembali kebimbangan penduduk.
Walaupun kerajaan memberi jaminan operasinya kelak akan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat, ia masih belum boleh meyakinkan penduduk terutama mereka yang pernah melalui pelbagai kesulitan dan masalah kesan daripada industri ini sebelum ini.
Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar berkata, kebimbangan itu ada asasnya kerana semasa aktiviti bauksit rancak berjalan, penduduk terdedah kepada pelbagai ancaman bahaya malah ada kes melibatkan nyawa terkorban.
Menurutnya, sekiranya moratorium ditamatkan, dan industri itu berjalan semula, persoalannya adakah segala isu yang timbul sebelum ini dapat diselesaikan dan tidak akan berulang semula?
“Banyak isu yang kita bimbang terutama pencemaran udara akibat debu bauksit sehingga menganggu aktiviti harian dan menjejaskan kesihatan penduduk.
“Kotoran debu merah dan tanah bauksit yang jatuh ke atas jalan ketika dipunggah ke pelabuhan mengotor dan melicinkan jalan. Kesannya ditanggung pengguna jalan apabila kenderaan mereka sentiasa dikotori dan terdedah kepada risiko kemalangan,” katanya.
Noor Jehan berkata, alam sekitar juga rosak teruk akibat perlombongan ini malah kesannya masih kekal hingga kini.
“Aktiviti lori memunggah bauksit juga memberi ancaman kepada keselamatan pengguna jalan lebih-lebih lagi ada pemandu yang memandu laju dan berbahaya selain mengabaikan muatan hingga ada yang tertumpah ke atas jalan.
“Ia diburukkan lagi apabila waktu operasi sehingga tengah malam menyebabkan pemandu lori sibuk mengejar trip dan bekerja melebihi masa sepatutnya. "Keadaan ini menyebabkan banyak kemalangan melibatkan lori bauksit berlaku,” katanya.
Beliau berkata, lebih mendukacitakan ada kes kematian akibat kecuaian operasi termasuk kes kematian guru yang terlibat kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan apabila kereta dinaiki terkena tayar lori bauksit yang tercabut.
“Agak memilukan apabila tiga kanak-kanak terkorban akibat lemas dalam kolam bauksit terbiar di Sungai Karang,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, berlaku korupsi dalam kalangan pegawai agensi terlibat sehingga berlaku perlombongan bauksit secara haram menyebabkan ketirisan hasil dan cukai kerajaan.
“Pada masa sama, ketika itu tonto dan gangster turut cari makan dengan menjaga kepentingan pelombong.
“Kita juga bimbang, berulangnya kejadian dimana penduduk mengambil tindakan sendiri dengan membakar lori bauksit akibat terlalu marah,” katanya.
Menurutnya, segala isu dan permasalahan itu perlu diberi perhatian oleh pihak yang berkepentingan supaya tidak ada lagi penduduk yang terpaksa menderita ketika pihak lain mengaut keuntungan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!