Duit simpanan RM10,000 dalam bank lesap

Chong Zhemin (dua dari kiri) bersama Sim (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Komuniti ADUN Keranji di Kampar, pada Khamis.
Chong Zhemin (dua dari kiri) bersama Sim (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Komuniti ADUN Keranji di Kampar, pada Khamis.
A
A
A

KAMPAR - Seorang pembuat roti berputih mata apabila wang simpanan miliknya di dalam bank bernilai hampir RM10,000 dipindahkan ke satu akaun Touch 'n Go eWallet yang tidak dikenali pada Ahad.

Lelaki dikenali Sim, 30, dari Bandar Baru Kampar berkata, kejadian disedari pada Isnin selepas mengesan puluhan transaksi dengan jumlah antara RM100 dan RM500 ke TNG eWallet tersebut pada dua hari berturut-turut bermula 23 Mei lalu.

Sangsi dengan perkara itu, dia kemudian merujuk kepada pihak bank dan melalui semakan penyata akaun mendapati terdapat 24 transaksi berlaku membabitkan nilai keseluruhan RM9,992.

"Sebaik menyedari baki wang telah berkurangan, saya terus membuat semakan penyata dan mendapati memang berlaku penolakan wang ke satu akaun TNG eWallet sebanyak RM9,992.

"Sepanjang transaksi ini terjadi, saya langsung tidak mendapat apa-apa pemberitahuan sama ada melalui mesej atau emel menyatakan ada perpindahan wang berlaku," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Komuniti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji di sini pada Khamis.

Sim meluahkan rasa kecewa kerana wang berkenaan sepatutnya digunakan bagi perbelanjaan keperluan diri dan keluarganya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dia bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kejadian itu ada kaitan dengan sindiket kerana ia dilakukan dengan licik tanpa dapat dikesan.

"Sampai sekarang saya tak tahu semua duit itu pindah ke mana dan kepada siapa kerana sepanjang pengetahuan, saya tidak pernah berkongsi apa-apa maklumat mengenai perbankan Internet dan maklumat kad debit saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, satu laporan polis telah dibuat agar siasatan lanjut dibuat dan berharap pihak bank dapat membantu menyelesaikannya.

"Kebetulan saya tetapkan had limit pengeluaran RM5,000 sehari. Jadi mereka tidak dapat lakukan pindahan wang dengan jumlah yang lebih besar dalam sehari. Bila saya dapat tahu, saya terus buat laporan dan tukar kad debit," katanya.

Sementara itu, ADUN Keranji, Chong Zhemin berkata, isu berkenaan perlu dipandang serius kerana melibatkan keselamatan perbankan.

"Kita akan bantu mangsa buat laporan ke Bank Negara. Kita khuatir sekiranya tidak dilaporkan, lebih ramai akan menjadi mangsa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!