Tiada gempa bumi di Perak: Jabatan Meteorologi
IPOH - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menafikan mesej tular laporan gempa berkekuatan 5.1 magnitud yang kononnya berlaku di Gua Musang, Kelantan, 59 kilometer dari Timur Laut Ipoh seperti yang dikeluarkan sebuah portal pada Khamis.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon berkata, setakat ini tiada kejadian gempa di Perak dan kenyataan yang dikeluarkan portal berkenaan bukan daripada pihaknya.
Mesej tular berkenaan tersebar melalui sebuah laman sesawang yang memaparkan maklumat gempa tersebut yang dikeluarkan oleh agensi luar negara.
"Kami menafikan kejadian tersebut dan telah mengesan gempa bumi yang sebenar berlaku di Utara Sumatera, Indonesia pada jam 9.38 malam tadi (Rabu).
"Kami tidak ada mengeluarkan sebarang maklumat gempa bumi pada hari ini (Khamis) dan saya juga ingin menegaskan tiada gempa berlaku di Perak," katanya ketika dihubungi Bernama bagi mengulas laporan portal berkenaan.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat gempa atau tsunami terkini melalui www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, media sosial MET Malaysia atau hotline di talian 1-300-22-1638.
Sebuah portal berasaskan gempa bumi melaporkan gempa melanda Ipoh pada jam 9.38 malam waktu tempatan pada Rabu, yang didakwa turut dirasai penduduk di sekitar Kuala Kangsar, Gua Musang, Taiping, Simpang Empat, Bagan Serai, Tapah Road dan Kulim. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!