Institusi pendidikan Gaza berminat adakan program dengan Malaysia
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Palestin di Gaza berminat untuk mengadakan program berkembar akademik dengan institusi pengajian tinggi Malaysia, kata Ketua Pengarah Hubungan Antarabangsa kementerian itu, Ahmed Abu Ayesh Alnajjar.
Program-program ini boleh diadakan secara dalam talian, katanya.
“Kami telah pun memulakan program berkembar dengan sekolah-sekolah di Gaza dan di Itali. Kami berharap dapat melakukan perkara yang sama dengan universiti atau kolej di Malaysia.
"Kami tidak mensasarkan untuk bantuan kewangan, namun berharap perkongsian seperti itu dapat membantu rakyat Gaza menuntut ilmu,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual dari Gaza baru-baru ini.
Ahmed turut menyarankan pertubuhan pelajar di institusi pengajian tinggi Gaza menjalin hubungan dengan rakan sebaya mereka di Malaysia untuk mempromosi perkongsian pengetahuan dan persahabatan yang lebih luas antara mereka.
"Kami berharap melalui jaringan seperti itu, kami dapat membantu meningkatkan kesedaran mengenai perjuangan Palestin kepada lebih banyak orang di luar Gaza.
"Kami mahu pelajar kami berhubung antara satu sama lain, membincangkan harapan mereka, dan bertukar-tukar pengetahuan seperti budaya, makanan, seni dan tradisi," tambahnya.
Kini terdapat lapan universiti dan 15 kolej di Gaza. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!