Pemberian AstraZeneca akan dimasukkan dalam PICK
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemberian vaksin AstraZeneca tidak lagi dilaksanakan secara sukarela sebaliknya ia dimasukkan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, langkah itu dibuat susulan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Beliau berkata, selepas ini tempahan untuk vaksin itu boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera tanpa menggunakan laman web berasingan.
"Kaedah tempahan ini dibuat selepas kita lihat ada keengganan di kalangan masyarakat untuk menerima vaksin AstraZeneca disebabkan beberapa berita mengaitkan vaksin ini dengan kes pembekuan darah, maka kaedah sukarela dibuat atas kehendak individu itu sendiri.
"Bagaimanapun selepas melihat sambutan memberangsangkan selain keengganan terhadap vaksin AstraZeneca terhakis dan tidak lagi meragui vaksin ini.
"Sekarang vaksin AstraZeneca diterima baik oleh masyarakat kita, jadi selepas ini kita akan buat keputusan bahawa untuk bulan-bulan akan datang kita tidak lagi laksanakan pemberian vaksin AZ secara pilihan sebaliknya kembali dimasukkan dalam senarai vaksin arus perdana PICK," katanya pada sidang akhbar secara maya pada Khamis.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Khairy Jamaluddin turut memaklumkan lebih 5,000 pengamal media di negara akan diberikan janji temu penerimaan vaksin Covid-19 mulai minggu pertama Jun.
Katanya, jumlah itu melibat 144 agensi media yang berdaftar di negara ini.
"Saya sudah tandatangani senarai nama pengamal media sebentar tadi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!