16 Individu ditahan terlibat loteri haram, judi dalam talian

Antara barang yang dirampas dalam Ops Dadu Bersepadu di beberapa premis di kawasan Butterworth, Mak Mandin, Tasek Gelugor, Teluk Air Tawar dan Kepala Batas, pada Selasa dan Rabu lalu.
Antara barang yang dirampas dalam Ops Dadu Bersepadu di beberapa premis di kawasan Butterworth, Mak Mandin, Tasek Gelugor, Teluk Air Tawar dan Kepala Batas, pada Selasa dan Rabu lalu.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seramai 16 individu termasuk enam wanita ditahan dipercayai terlibat dengan aktiviti judi loteri awam haram tanpa lesen dan perjudian online di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua mereka ditahan dalam Ops Dadu Bersepadu yang dilakukan terhadap beberapa buah premis di kawasan Butterworth, Mak Mandin, Tasek Gelugor, Teluk Air Tawar dan Kepala Batas di sini, pada Selasa dan Rabu lalu.

Menurutnya, dalam serbuan yang dilakukan bermula jam 3.50 petang hingga 7.15 malam itu, pihaknya merampas pelbagai peralatan digunakan mereka untuk menjalankan kegiatan haram berkenaan.

"Antara yang dirampas alat tulis, 10 keping slip kertas bercetak angka-angka tertera tulisan disyaki judi loteri awam haram, 14 telefon bimbit pelbagai jenama di dalamnya terpapar aplikasi yang menunjukkan kegiatan tambah nilai perjudian online.

"Selain itu turut dirampas 14 mobile data printer serta sejumlah wang tunai bercampur-campur," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Noorzainy berkata, kesemua yang ditahan berusia d iantara 19 hingga 60 tahun itu di bawa balik ke IPD SPU untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, polis turut mendapatkan kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melakukan pemotongan bekalan elektrik ke atas semua premis-premis yang diserbu mengikut peruntukan di bawah Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Jelasnya, tindakan itu bagi memastikan aktiviti judi khususnya judi loteri awam dan kegiatan perjudian dalam talian ini dapat dibanteras secara berterusan.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 4A(a) dan 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

"Pihak polis meminta orang awam turut membantu dengan sama-sama menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan aktiviti perjudian haram melalui sistem Volunteer Smartphone Control (VSP) ataupun menghubungi pihak polis IPD SPU di talian 04 – 5762222," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!