Pemandu Proton Exora maut tersepit dalam kemalangan
KLUANG - Seorang lelaki maut apabila tersepit di tempat duduk kenderaan jenis Proton Exora yang dipandunya di Jalan Parit Ismail, Simpang Renggam dekat sini pada Khamis.
Kemalangan pada jam 9.53 pagi itu melibatkan mangsa, M Sasitaran, 25, dan sebuah lori jenis Hino dipandu Rahmat Kamsan, 39.
Ketua operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Ismail Rahmat berkata, seramai tujuh anggota dan sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Terdapat satu mangsa cedera dan tersepit di tempat duduk pemandu Proton Exora, manakala pemandu lori Hino dalam keadaan selamat.
"Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas. Bomba berjaya mengeluarkan mangsa tersepit, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 10.41 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!