Penduduk terseksa hidu bau busuk sisa ayam

Roslan(kanan) dan Zakaria (dua, kanan) menunjukkan kertas pelekat yang dipenuhi lalat dan menghantui penduduk ekoran masalah pencemaran busuk itu.
Roslan(kanan) dan Zakaria (dua, kanan) menunjukkan kertas pelekat yang dipenuhi lalat dan menghantui penduduk ekoran masalah pencemaran busuk itu.
A
A
A

JASIN - Lebih 2,000 penduduk di kawasan Ayer Merbau dan sekitarnya terpaksa menghidu bau busuk meloyakan didakwa berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa ayam dari sebuah kilang pemprosesan ayam di ladang sawit sejak dua minggu lalu.

Permasalah itu berlaku susulan pihak syarikat berkenaan didakwa tidak mengikut tatacara pengendalian sisa haiwan ternakan yang betul, selain tidak mendapatkan kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kampung Ayer Merbau menyebabkan penduduk terpaksa 'berperang' dengan lalat hampir setiap masa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ayer Merbau, Zakaria Ab Hamid, 58 berkata, susulan aduan penduduk, dia kemudiannya mencari punca bau busuk berkenaan sebelum mendapati banyak sisa ayam termasuk organ dalaman haiwan ternakan itu dibuang di dalam lubang yang digali dan dibiarkan terbuka tanpa sebarang kerja-kerja mengambusan semula tanah.

Menurutnya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menggugat keharmonian penduduk malah indsiden masalah bau busuk sudah dua kali melanda di kawasan berkenaan termasuk sebelum ini mereka dihantui bau baja ayam pada 2019.

"Setiap hari penduduk terpaksa menghidu bau busuk dan keadaan ini benar-benar tidak selesa ditambah pula masalah lalat yang terlalu banyak berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa ayam syarikat terbabit.

"Walaupun sisa buangan itu dibuang di tanah sendiri, namun mereka perlu lebih peka kerana kawasan ini berdekatan dengan penempatan penduduk selain terdapat sekolah-sekolah. Keadaan ini sudah pasti membuatkan kami kecewa dan harap tindakan penyelesaian dapat diambil segera," katanya ketika ditemui pemberita di ladang sawit, Kampung Ayer Merbau, di sini pada petang Khamis.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Datin Sapiah Harun.

Sementara itu, Roslan berkata, perkara berkenaan boleh dielakkan sekiranya kilang terbabit menggunakan kaedah pelupusan sisa haiwan ternakan dengan cara yang betul.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil termasuk memanjangkan isu berkenaan ke Jabatan Veterinar selain MPJ telah mengeluarkan dua kompaun di bawah Akta 171 Seksyen 80 Kacau Ganggu bernilai RM1,000 setiap satu terhadap pemilik premis berkenaan.

"Kita juga minta pemilik premis terbabit membayar ganti rugi kepada penduduk yang mengalami trauma, dalam bentuk ubat atau wang bagi pencegahan lalat dan sebagainya.

"Malah kesemua lubang yang ada kawasan ini harus ditutup sepenuhnya dan perlu disembur pembasmi bau atau Effective Microorganisme (EM) dengan kadar segera bagi menangani masalah bau busuk dan lalat," katanya.

Salah seorang pendudukan yang ditemui, Lim Kok Ann, 58, berkata, dia terpaksa menutup pintu dan tingkap rumah sepanjang masa kerana tidak tahan dihurungi lalat serta bau yang kurang menyenangkan.

"Lalat selalu masuk dalam makanan dan minuman, sampai bila kami nak bersabar janganlah nanti ada yang mengalami keracunan makanan baharu tindakan mahu diambil," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!