Malaysia, Rusia bincang langkah kukuh hubungan perdagangan

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Rusia baru-baru ini membincangkan langkah bagi memperkukuhkan hubungan ekonomi dua hala melalui pertemuan pertama Kumpulan Kerja mengenai Kerjasama dalam Industri serta Perdagangan di bawah kerangka Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia untuk Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjelaskan, sesi mesyuarat yang berlangsung secara maya pada 25 Mei lepas telah dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali dengan Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Rusia, Aleksei Gruzdev.

“Mesyuarat kumpulan kerja itu bertujuan untuk mengenal pasti bidang-bidang yang ada berkepentingan bersama, selain langkah-langkah yang mampu meningkatkan jumlah dan kepelbagaian kerjasama perdagangan serta industri antara kedua-dua negara.

“Lebih daripada 450 peserta daripada pelbagai sektor termasuk kerajaan, swasta termasuk peneraju industri dari Malaysia dan Persekutuan Rusia terlibat dalam mesyuarat tersebut,” kata MITI dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Duta Besar Malaysia, Datuk Bala Chandran Tharman dan Duta Rusia, Naiyl M Latypov.

Dalam ucapan perasmiannya, Lokman menekankan komitmen Malaysia dalam memperkukuhkan hubungan dua hala dengan Rusia termasuk keperluan agar kedua-dua negara mengembangkan strategi serta inisiatif yang mantap dalam mencapai kerjasama jangka panjang dan berterusan.

"Walaupun kedua-dua kerajaan akan menawarkan sokongan sebagai pemboleh dan fasilitator, saya perlu menekankan bahawa peranan penting dalam keseluruhan ekosistem perdagangan dan industri akan dipikul oleh pihak perindustrian, bagaimanapun, pemain sektor swasta yang akan menjadi kunci bagi memperkukuhkan kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan ini," tambahnya.

Lokman juga menggesa syarikat-syarikat Rusia memanfaatkan lokasi strategik Malaysia di tengah-tengah Asia Tenggara dan mengambil peluang daripada agenda pelaburan negara yang telah diperbaharui, Aspirasi Pelaburan Kebangsaan untuk penerokaan perniagaan di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat kumpulan kerja itu turut mengenal pasti lapan bidang kerjasama yang merangkumi perdagangan dua hala, pelaburan dan kerjasama industri yang telah diperbaharui iaitu aeroangkasa, peralatan farmaseutikal dan perubatan, pembinaan kapal, inovasi dan teknologi IT, minyak dan gas, peralatan kejuruteraan kimia dan tenaga, komoditi, halal serta keselamatan makanan.

Menurut MITI, perundingan pakar mengenai semua bidang kerjasama telah diadakan sebelum pertemuan kelmarin, yang mana kedua-dua pengerusi mencatatkan hasil yang produktif yang kemudiannya, mendorong mereka untuk meneruskan perundingan di bidang kerjasama masing-masing bagi memastikan tindakan yang efektif.

Rusia merupakan antara 30 rakan dagang utama Malaysia selama lapan tahun kebelakangan ini dan merupakan rakan dagang terbesar Malaysia, destinasi eksport serta sumber import di kalangan negara-negara CIS.

Untuk suku pertama 2021, jumlah perdagangan Malaysia dengan Rusia meningkat 0.3 peratus kepada RM1.72 bilion (AS$0.42 bilion) berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020.

Angka eksport menokok 40.4 peratus kepada RM1. 01 bilion (AS$0.25 bilion) disebabkan oleh lonjakan permintaan untuk produk getah. Jumlah import menyusut 28.7 peratus kepada RM0.71 bilion (AS$0.17 bilion) berikutan penurunan dalam import produk petroleum serta minyak mentah.

Daripada segi pelaburan, Malaysia mencatatkan sejumlah lapan projek pembuatan dengan penyertaan Rusia yang telah dilaksanakan bernilai RM128.32 juta dan mewujudkan 408 pekerjaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!