Azhar kembali ke MRT Corp sebagai pengerusi
KUALA LUMPUR - Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) melantik Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai pengerusi berkuat kuasa 11 Mei.
Pelantikan itu ibarat sirih pulang ke gagang kerana Azhar sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif pertama organisasi itu dari tahun 2011 hingga 2014.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, Azhar membawa bersama pengalaman luasnya dalam industri yang akan membantu memajukan MRT Corp pada masa depan.
“Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pertama MRT Corp, pengalaman dan pengetahuan Azhar adalah tidak ternilai ketika organisasi sedang bergerak ke hadapan untuk membangunkan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dan projek sambungan laluan MRT 3 yang pada masa sama untuk menyiapkan Laluan MRT Putrajaya,” katanya.
Sebelum pelantikan itu, Azhar merupakan pengerusi FGV Holdings Bhd dari tahun 2017 hingga April 2021.
Selepas meninggalkan MRT Corp pada tahun 2014 hingga 2017, beliau memegang pelbagai jawatan termasuk pengerusi MSM Malaysia Holdings Sdn Bhd, pengarah urusan kumpulan Malakoff Corporation, dan pengarah urusan presiden/kumpulan dan pengerusi Tradewinds Corporation Bhd. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!