Eky terlepas baki saingan Liga-M

Shahrel Fikri mengalami kecederaan ketika menentang TFC. - Foto FB SELANGOR FC
Shahrel Fikri mengalami kecederaan ketika menentang TFC. - Foto FB SELANGOR FC
A
A
A

PENYERANG Selangor FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi terpaksa melupakan hasrat beraksi pada baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini apabila dinasihatkan untuk menjalani proses pemulihan sehingga tahun depan.

Shahrel Fikri yang berdepan kecederaan dalaman di bahagian pergelangan kaki pada awal Mei lalu masih dalam fasa pemulihan dan dijangka mengambil masa empat hingga lima bulan untuk pulih.

Perkembangan terbaharu itu menyaksikan Shahrel Fikri yang lebih mesra disapa Eky tidak berpeluang bermain di pentas Piala Malaysia 2021 dan Piala AFF Suzuki pada tahun ini.

Mengakui situasi dialaminya ketika ini bukan mudah untuk diterima kerana masih belum puas beraksi pada musim ini, Eky bagaimanapun telah memikirkan kesan jangka panjang bagi mengelakkan kecederaan lebih teruk.

“Selepas pembedahan tempoh hari, sekarang dah tak rasa sakit sangat, cuma nak dapat keyakinan untuk kembali berjalan secara normal saya masih takut.

“Ikutkan doktor dalam empat hingga lima bulan saya akan pulih, tetapi kalau nak terus masuk berlatih, takut benda tak diingini berlaku yang boleh menyebabkan saya tak dapat bermain buat selama-lamanya,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Khamis.

Di sebalik musibah yang melanda dirinya ketika ini, Eky percaya apa yang berlaku pasti ada hikmahnya dan berazam mahu bangkit semula selepas kecederaan untuk mencatat lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Pada masa sama, Eky berharap Selangor FC akan terus memberikan saingan lebih hebat sebaik sahaja liga kembali bersambung nanti.

Artikel Berkaitan:

Pemain berusia 27 tahun itu hanya sempat menjaringkan satu gol bersama Selangor FC ketika menentang Sri Pahang FC pada Mac lalu dan diketepikan sewaktu aksi ke-13 Liga Super dalam aksi pertembungan dengan Terengganu FC (TFC) susulan kecederaan dialaminya.

Selangor FC ketika ini berada di tangga kelima Liga Super dengan 19 mata selepas mengharungi 13 perlawanan setakat ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!