Akademi Diraja Chulabhorn Thailand akan beli vaksin Covid-19 alternatif
BANGKOK - Akademi Diraja Chulabhorn (CRA) Thailand, sebuah institusi penyelidikan diraja akan mendapatkan vaksin Covid-19 alternatif dengan melangkau Pertubuhan Farmasi Kerajaan (GPO) berikutan negara itu berhadapan kes Covid-19 yang tinggi sejak April tahun ini.
Pengumuman di Royal Gazette pada Selasa ditandatangani oleh adik bongsu Raja Maha Vajiralongkorn, Puteri Chulabhorn.
Menurut The Nation, pengumuman itu mengatakan bahawa semua peralatan perubatan, ubat-ubatan dan vaksin yang diimport oleh akademi akan dianggap miliknya untuk tujuan perubatan dan kesihatan awam.
Sementara itu, setiausaha agung CRA, Nithi Mahanonda mengatakan, 'vaksin alternatif' itu akan melengkapkan kempen vaksinasi kerajaan untuk menghentikan pandemik Covid-19 di negara ini.
"Akademi ini secara beransur-ansur akan mengurangkan pembelian vaksin alternatif, setelah pengedarannya dianggap mencukupi," tulis beliau di laman Facebooknya.
CRA dijangka mengadakan sidang akhbar pada Jumaat mengenai pemerolehan dan pengimportan vaksin Covid-19 Sinopharm.
Thailand dijangka akan meluluskan vaksin Sinopharm untuk penggunaan kecemasan minggu ini.
Pengumuman itu melangkau GPO setelah kerajaan berhadapan kemarahan meningkat masyarakat disebabkan proses vaksinasi yang perlahan.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perintah diraja itu.
"Saya baru sahaja melihat pengumuman malam tadi... saya akan teliti dahulu adakah ia bertindih dengan usaha Kementerian Kesihatan Awam, ” katanya semasa satu temubual televisyen pada Khamis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!