Kompaun yang kena pada tempatnya

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEBANYAK 1.261 juta dos vaksin AstraZeneca sudah habis ditempah orang ramai untuk slot janji temu secara sukarela (pusingan kedua).

Menurut kenyataan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), daripada jumlah itu, sebanyak 275,208 dos ditempah oleh warga emas sewaktu inisiatif berkenaan mula dibuka sejak 23 Mei lalu.

Sebanyak 956,609 tempahan bagi penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas pula telah dipenuhi pada Rabu dalam tempoh sejam.

Dalam tempoh itu juga, kita dapat mengetahui bahawa ramai yang bersungguh-sungguh mendaftarkan diri untuk mendapatkan slot berkenaan hinggakan laman sesawang CITF menghadapi masalah teknikal.

Bahkan sehingga hari ini masih ada yang kecewa kerana tidak terpilih sebagai penerima vaksin tersebut.

Dan apabila melihat kepada kesungguhan individu yang mahukan vaksin dan kekecewaan sebahagian yang lain selepas gagal untuk mendapatkan slot tempahan, maka satu perasaan terkilan apabila mengetahui mereka yang sepatutnya hadir menerima suntikan, gagal untuk berbuat demikian.

Seperti yang dilaporkan media tempatan, pada Ahad minggu lalu, hampir 10,000 penduduk di Kelantan dengan sebahagian besar berusia 60 tahun ke atas gagal hadir menerima suntikan vaksin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, antara puncanya adalah masalah kesihatan, selain menunda tarikh suntikan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ada juga yang gagal hadir kerana mempunyai masalah peribadi dan ramai juga tidak memberi alasan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Paling mengecewakan, ada juga dalam kalangan mereka yang tidak menjawab panggilan.

Di Kedah pula, seramai 10,827 daripada 30,100 individu yang diberi janji temu melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima vaksin tidak hadir antara 19 April hingga Sabtu lalu.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, antara punca mereka tidak hadir adalah bertukar fikiran kerana belum bersedia untuk menerima suntikan vaksin.

Antara alasan lain diberikan adalah tidak sihat, sedang menjalani kuarantin, berada di luar kawasan dan tiada kenderaan untuk hadir ke PPV.

Oleh itu, cadangan untuk mengenakan kompaun dan penalti terhadap individu yang tidak menghadiri janji temu di PPV adalah sangat relevan.

Walaupun Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pelaksanaan kompaun itu wajar dilakukan selepas pendekatan sukarela dilaksanakan sepenuhnya, ia sebenarnya boleh dilakukan dengan segera.

Kompaun boleh dikenakan terhadap mereka yang dengan sengaja tanpa alasan kukuh tidak menghadiri janji temu tersebut kerana tindakan tersebut menyusahkan banyak pihak.

Mungkin ada yang beranggapan, tindakan kompaun akan menyebabkan ramai tidak mahu mendaftarkan diri untuk menerima vaksin.

Sebenarnya itu adalah langkah terbaik bagi mendidik masyarakat supaya lebih serius dan tidak mengambil mudah usaha yang dilakukan kerajaan untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Kompaun terhadap kesalahan seperti itu adalah wajar kerana impak kesalahan tersebut besar terhadap negara.Begitu juga dengan kesalahan lain yang serius, walaupun sudah berlaku, ia boleh dikenakan tindakan kerana impak tersebut masih dirasai hingga kini.

Misalnya, kes yang naik mendadak akhir-akhir ini antaranya disebabkan kedegilan individu yang pulang ke kampung berhari raya sehingga menyebabkan ahli keluarga dan penduduk kampung positif Covid-19.

Bukan sahaja mencetuskan kluster baharu, bahkan ramai yang tidak bersalah menjadi mangsa.

Mereka ini yang sepatutnya dikenakan kompaun kerana tindakan melanggar SOP membawa impak besar kepada orang lain.

Contoh paling jelas untuk dikenakan kompaun adalah semua yang terlibat hingga menyebabkan Pilihan Raya Negeri Sabah diadakan pada tahun lalu.

Daripada menteri di Sabah hinggalah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Semuanya mengakui PRN Sabah menyebabkan kes Covid-19 naik semula.

Semua bukti sudah ada, hanya menunggu tindakan sahaja.

* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!