Majikan jangan sembunyikan kes positif Covid-19
SHAH ALAM - Arahan bekerja dari rumah (BDR) yang dilaksanakan oleh kerajaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat pelbagai reaksi apabila terdapat dakwaan ada majikan yang kurang mengambil perhatian terhadap kebajikan pekerja.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, majikan hendaklah berlaku adil dalam melakukan jadual BDR secara bergilir agar semua pekerja dapat merasa layanan yang saksama.
“Arahan kerajaan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah PKP yang lebih ketat untuk sektor ekonomi dan sosial hendaklah dipatuhi oleh majikan dan mereka tidak boleh meminta lebih daripada 60 peratus kakitangan bekerja dalam satu-satu masa.
“Kegagalan majikan untuk mematuhi arahan tersebut akan mengakibatkan penutupan automatik tempat kerja untuk tujuh hari dan pihak berwajib telah menyatakan bahawa keputusan itu akan dilaksanakan secara tegas dan tidak boleh dirayu lagi.
“Majikan tidak boleh menyembunyikan sebarang kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja dan syarikat perlu menangani jangkitan itu dengan terbuka termasuklah melakukan sanitasi di tempat kerja. Majikan juga perlu memberitahu Pejabat Kesihatan Daerah dan membantu untuk menentukan kontak rapat,” katanya pada Sinar Harian baru-baru ini.
Tambahnya, pekerja pula tidak boleh menentukan sendiri bila mereka hendak BDR dan perlu sentiasa mematuhi arahan syarikat kerana ia sah dari segi undang-undang dan munasabah.
“Kita harus ingat bahawa bukan semua jenis pekerjaan itu sesuai dilakukan di rumah. Contohnya, pekerja yang terlibat dalam bidang pembuatan di kilang, kerja berkenaan hanya boleh dilakukan di tempat kerja sahaja.
“Namun, bagi kerja yang boleh dilakukan di rumah, pekerja tidak perlu berulang alik ke tempat kerja dan ini dapat menjimatkan masa dan kerja boleh menjadi lebih produktif,” katanya.
Syed Hussain turut meluahkan kebimbangan terhadap kes jangkitan Covid-19 yang melebihi 7,000 kes sehari dan lebih 2,000 kes di Selangor yang boleh memberi kesan terhadap sektor pekerjaan.
“MEF berpendapat langkah kerajaan mengekalkan PKP di seluruh negara dengan pelaksaan SOP yang lebih ketat adalah langkah terbaik untuk mengimbangi kelangsungan hidup.
“Langkah sedemikian dapat memulihkan ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dilindungi.
“Penutupan terus ekonomi sebagaimana PKP 1.0 telah menjejaskan ekonomi dengan teruk apabila negara mengalami kerugian ekonomi kira-kira RM2.4 bilion sehari dibandingkan dengan sekarang antara RM300 juta hingga RM400 juta sehari.
“Perlu diingatkan bahawa langkah untuk menangani wabak Covid-19 adalah tanggungjawab bersama dengan kerjasama erat antara kerajaan, pekerja dan majikan untuk melawan serta membendung gejala ini,” katanya.
Terdahulu, kerajaan menetapkan 80 peratus penjawat awam dan 40 peratus pekerja di sektor swasta akan bekerja dari rumah bermula Selasa lalu berikutan pelaksanaan PKP3.0.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!