Pesawat Israel di Singapura bukan untuk mengintip
SINGAPURA - Sebuah pesawat Israel yang mengelilingi ruang udara Singapura awal bulan ini didakwa melakukan demonstrasi produk komersial untuk sebuah firma teknologi pertahanan iaitu ST Engineering.
Seorang jurucakap firma itu memberitahu portal berita Today bahawa pesawat Boeing 737-400 itu digunakan dalam satu demonstrasi firma berkenaan yang mempunyai pejabatnya di Paya Lebar.
Demonstrasi itu dilakukan di ruang udara dan wilayah perairan Singapura.
Jurucakap tersebut berkata, demonstrasi itu telah selesai dan persediaan dilakukan untuk pesawat berkenaan meninggalkan negara tersebut.
Pesawat tersebut milik sebuah anak syarikat Israel, Aerospace Industries (IAI) yang juga pengeluar peralatan penerbangan dan ketenteraan milik rejim Zionis.
Bagaimanapun, firma ST Engineering itu tidak memberikan maklumat terperinci tentang demonstrasi tersebut dan apakah sebenarnya yang dibawa oleh pesawat berkenaan.
Berdasarkan kepada pemeriksaan menerusi laman sesawang penerbangan FlightRadar24, portal berita tersebut melaporkan bahawa pesawat itu terbang di barat daya Singapura pada Isnin dan Selasa lalu.
Singapura sebelum ini mempunyai sejarah hubungan dua hala dengan Israel setelah menjalin hubungan diplomatik dengan rejim Zionis selepas berpisah dengan Malaysia pada tahun 1965.
Baru-baru ini pesawat berkenaan mencetuskan tanda tanya apabila ia terbang selama beberapa jam di ruang udara Singapura.
Penerbangan pesawat itu turut menimbulkan spekulasi bahawa ia kemungkinan digunakan untuk tujuan perisikan.
Jurnal Defence Security Asia yang berpangkalan di Kuala Lumpur baru-baru ini melaporkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang melakukan siasatan berhubung laporan sebuah pesawat Israel yang dilengkapi peralatan elektronik sensitif telah terbang di ruang udara Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN: Kehadiran pesawat pengintip prototaip Israel timbul tanda tanya
Kapal terbang Boeing itu kemudian dikesan telah mendarat di sebuah pangkalan tentera di Singapura.
Spekulasi pengintipan itu timbuL kerana pesawat Boeing tersebut terbang di ruang udara Singapura selepas gencatan senjata dipersetujui antara Israel dengan Hamas pada Jumaat minggu lalu bagi menamatkan serangan tentera rejim Zionis di Gaza selama 11 hari.
Dalam serangan tentera Israel itu, lebih 200 penduduk di Gaza terkorban dan lebih 1,900 lagi cedera manakala lebih 12 orang di Israel terbunuh. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!