HTJ perlu 1,600 bekas plastik makanan setiap hari
SEREMBAN - Bekas plastik makanan antara yang menjadi keperluan Hospital Tuanku Jaafar(HTJ) pesakit positif Covid-19.
Koordinator Barisan Nasional Youth Volunteer (BNYV) Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom berkata, pihaknya dimaklumkan hospital itu memerlukan sekurang-kurangnya 1,600 bekas makanan plastik setiap hari.
Beliau berkata, sebelum ini pihak hospital menggunakan bekas makanan yang perlu dibasuh selepas digunakan oleh pesakit.
"Selepas pesakit bertambah, mereka sangat memerlukan bekas plastik makanan pakai buang bagi mengurangkan risiko jangkitan," katanya kepada Sinar Harian.
Pada masa sama katanya, dengan bekas plastik makanan juga dapat mengurangkan bebanan tugas kakitangan bahagian penyediaan makanan hospital.
Sehubungan itu katanya, sebagai permulaan, BNYV Negeri Sembilan dengan kerjasama Seremban Prihatin telah menyumbang sebanyak 3,000 bekas makanan plastik kepada HTJ pada Rabu
"Inisiatif bantuan itu merupakan fasa kedua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dan kita akan tengok keperluan dari masa ke masa," katanya.
Selain itu katanya, pihaknya juga kini dalam usaha mengumpul dana bagi menyediakan keperluan tong oksigen dan makanan segera buat Hospital Port Dickson.
"Bagi saya inilah waktunya kami sebagai gerakan anak muda profesional berganding bahu berbakti kepada negara dan masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!