MUIP bantu 249 asnaf baik pulih, bina rumah baharu
KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah membelanjakan lebih RM3.4 juta bagi bantuan membaik pulih dan bina baharu rumah 249 asnaf di Pahang, sepanjang tahun lalu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, kesemua peruntukan itu digunakan bagi membina 11 rumah baharu manakala 238 lagi adalah kerja-kerja membaikpulih rumah milik asnaf.
Menurutnya, kerja-kerja pembinaan dan membaiki pulih kediaman ini dilaksanakan oleh beberapa kontraktor yang telah dilantik.
"Berdasarkan rekod, Pekan menjadi daerah terbanyak menerima bantuan itu dengan 219 rumah dibaik pulih, dua bina baharu, diikuti Temerloh sebanyak 37 dibaik pulih.
"Daerah Rompin pula melibatkan 33 rumah dibaik pulih dan satu bina baharu manakala 22 rumah asnaf di daerah Kuantan dibaik pulih dan empat rumah baharu dibina. Daerah lain masing-masing menerima bantuan antara dua hingga lapan baik pulih serta bina baharu," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, setiap permohonan untuk membaik pulih dan bina baharu rumah perlu melalui MUIP cawangan daerah masing-masing.
Katanya, permohonan itu diberikan kelulusan selepas siasatan dilakukan sebelum diputuskan oleh jawatankuasa khas.
Dalam pada itu, Asmadi berkata, peruntukan disediakan bagi kerja-kerja baik pulih dan bina baharu rumah yang disediakan MUIP melibatkan kos antara RM5,000 hingga RM50,000 seunit.
“Setiap permohonan bantuan yang diperlukan golongan asnaf di Pahang akan kita beri perhatian dan pertimbangankan sekali gus dapat memastikan kehidupan mereka lebih terjamin.
"Malah, kita akan terus berusaha membantu menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada golongan asnaf di negeri ini dan menjadi antara tanggungjawab yang digalas MUIP membabitkan wang zakat dibayar umat Islam di negeri ini,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!