Hospital Pantai Sungai Petani mohon maaf

Dari kiri, Ahmad Shahrin, Bee Chan dan Katini semasa sidang media di Hospital Pantai Sungai Petani. Gambar kecil; Iklan biasiswa kejururawatan yang mengundang reaksi negatif awam.
Dari kiri, Ahmad Shahrin, Bee Chan dan Katini semasa sidang media di Hospital Pantai Sungai Petani. Gambar kecil; Iklan biasiswa kejururawatan yang mengundang reaksi negatif awam.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Hospital Pantai Sungai Petani mengaku bahawa iklan biasiswa kejururawatan yang mengundang reaksi negatif awam disebabkan kekurangan penelitian dalam proses kelulusan iklan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tio Bee Chan berkata, pihaknya memohon maaf atas iklan biasiswa berkenaan yang dikatakan mengandungi unsur tidak wajar.

"Kami mengakui bahawa iklan itu dipamerkan atas sebab kekurangan penelitian dalam proses kelulusan iklan dan ianya tidak mencerminkan nilai organisasi kami," katanya kepada media.

Beliau berkata, pihaknya bertanggungjawab terhadap kesilapan tidak disengajakan dan memberi jaminan perkara itu tidak akan berulang.

Katanya, Hospital Pantai mengamalkan polisi pengambilan pekerja sama rata dan tidak praktikkan sikap prejudis terhadap mana-mana bangsa atau agama.

Jelasnya, insiden itu adalah peringatan kepadanya dan pihak pengurusan serta kakitangan bahawa mereka tidak boleh memandang ringan isu berkaitan keharmonian kaum dan agama.

Sementara itu, Pengarah Kejururawatan, Katini Abu Hassan berkata, pihaknya kesal dengan kejadian berlaku sehingga menimbulkan rasa tidak senang masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Tujuan kami memaparkan iklan tersebut adalah untuk menarik minat calon yang berpotensi.

"Di Hospital Pantai Sungai Petani, sekitar 72% jururawat kami adalah Melayu. Ini menyebabkan berlaku isu penjadualan kakitangan pada musim perayaan," katanya.

Katanya, sebagai pengarah kejururawatan, dia ingin menambahkan jururawat dari pelbagai kaum bagi membolehkan jururawat Melayu diberi pelepasan semasa musim perayaan.

"Pertambahan ini juga membolehkan kami memberi penjagaan sewajarnya kepada pesakit yang merangkumi pelbagai kaum.

"Keprihatinan dalam memastikan kami mempunyai kakitangan seimbang terutamanya musim perayaan, telah menimbulkan salah faham yang tidak disengajakan.

"Tempat kerja kami mempunyai kakitangan pelbagai kaum di pelbagai jabatan. Kami dengan seikhlas hati memohon maaf atas kejadian ini, belajar dari kesilapan dan lebih berhati-hati di masa hadapan," katanya.

Menurut Pengarah Sumber Manusia, Ahmad Shahrin Mohamad Nor, kira-kira 72 peratus atau 135 daripada 188 jururawat Hospital Pantai Sungai Petani merupakan jururawat Melayu.

Hospital berkenaan pada 8 Februari lalu telah mempamerkan iklan pengambilan biasiswa kejururawatan yang mengundang kontroversi apabila tercatat di iklan, mengutamakan pemohon dari bangsa Siam, Cina, India dan Kristian.

Iklan itu telah diturunkan pada 16 Februari lalu.Kira-kira 72 peratus atau 135 daripada 188 jururawat Hospital Pantai Sungai Petani terdiri daripada jururawat Melayu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!