Kerajaan perlu lebih kreatif ajak rakyat vaksin diri

Kerajaan perlu kreatif dan inovatif dalam mengalakkan dan menyakinkan rakyat untuk melaksanakan vaksinasi Covid-19 sebagaimana yang disasarkan. Gambar hiasan ((Gambar kecil: Dr Rusdi Omar)
Kerajaan perlu kreatif dan inovatif dalam mengalakkan dan menyakinkan rakyat untuk melaksanakan vaksinasi Covid-19 sebagaimana yang disasarkan. Gambar hiasan ((Gambar kecil: Dr Rusdi Omar)
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan perlu lebih kreatif dan inovatif dalam mengalakkan dan menyakinkan rakyat untuk melaksanakan vaksinasi Covid-19 sebagaimana yang disasarkan.

Penolong Naib Canselor, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM COLGIS), Profesor Madya Dr Rusdi Omar berkata, rakyat mungkin masih belum ‘nampak’ kebaikan dan manfaat mevaksinkan diri mereka walaupun masing-masing takut berdepan dengan wabak tersebut.

Menurutnya, mungkin cara kerajaan lakukan sekarang ini belum cukup berkesan untuk mengajak dan menyakinkan mereka, sehingga berlakunya penolakan dan sebagainya.

“Bila cakap pasal Covid-19, semua takut. Siapa tidak takut kerana ia boleh membawa maut dan sebagainya. Tapi bila kita tanya, sudah ambil vaksin ke belum? Mereka (rakyat) boleh jawab belum. Biasa sahaja dan mereka tidak ada rasa takut sebagaimana takut pada penyakit itu sendiri.

“Mereka sebenarnya tahu, vaksin itu dapat membantu pencegahan kepada jangkitan pandemik tersebut, tapi kenapa mereka tidak ‘takut’ kalau tidak cucuk? Ini disebabkan kurangnya pendedahan mengenai perkara ini.

“Mereka bukan budak kecil yang boleh diberikan aiskrim dan ajak pergi main buaian. Mereka adalah golongan cerdik pandai yang sudah boleh berfikir. Sepatutnya mereka lebih ‘laju’ daripada kita. Oleh sebab itu kerajaan perlu adakan sesi meja bulat untuk fikir bagaimana cara nak pastikan mereka mendapat vaksin masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, banyak pendapat mengatakan pelaksanaan ‘total lockdown’ boleh membantu mengurangkan masalah peningkatan kes dan sebagainya, namun hakikatnya adalah adakah kerajaan negeri mampu membantu rakyat yang berdepan kesusahan apabila ‘lockdown’ dilaksanakan.

Katanya, jika kerajaan negeri dan Pusat bekerjasama untuk melaksanakan ‘lockdown’, maka mereka perlu bantu rakyat yang terkesan ini sebaik mungkin, walaupun untuk tempoh dua minggu mahupun sebulan.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum buat ‘lockdown’, pastikan semua mendapat vaksin terlebih dahulu. Itu yang lebih penting. Bila semua sudah dapat vaksin, jika kes meningkat lagi, barulah kita fikirkan langkah seterusnya.

“Kita sudah tiada pilihan lain, peningkatan jumlah kes ini sudah diuar-uarkan sebelum ini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sepatutnya kerajaan sudah mempunyai strategi tertentu untuk berdepan situasi tersebut termasuklah mengalakkan vaksinasi.

“Kalau kita nak buat ‘lockdown’, maka contohilah Jerman jika kita mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Tapi jika kita tidak mahu melaksanakannya, maka bertindaklah lebih awal supaya ia tidak jadi seperti di India,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!