Jakim, NGO jalin kerjasama inisiatif Tabung Musa’adah Palestin
PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjalinkan kerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bagi inisiatif Tabung Musa’adah Palestin yang diwujudkan sebagai tanda solidariti buat rakyat Palestin yang dizalimi Israel.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, satu mesyuarat secara maya akan diadakan pada petang Jumaat bersama NGO terlibat mengenai kutipan Tabung Musa’adah itu dan menentukan jumlah sumbangan dana sebelum diserahkan kepada wakil Kedutaan Palestin.
"Sumbangan adalah untuk mereka yang berhak dalam kalangan penduduk Palestin sama ada di Gaza atau Tebing Barat,” katanya pada sesi webinar Bersamamu Palestin (Bicara Konflik Israel-Palestin) bertajuk Palestin Bumi Diberkati menerusi Facebook Jakim, pada Jumaat.
Menyifatkan kezaliman Israel terhadap Palestin sebagai melibatkan isu kemanusiaan, Zulkifli menyeru rakyat di negara ini agar terus menyalurkan sumbangan sebagai usaha membantu rakyat yang tertindas di negara berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!