Raja Muda Perlis seru rakyat tekankan aspek kesantunan berbahasa
KANGAR - Aspek kesantunan berbahasa harus diangkat dan ditonjolkan sebagai budaya dan adat masyarakat di Perlis.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kesedaran di semua peringkat perlu diusahakan agar kesantunan berbahasa terus berakar, berkembang, subur dan merimbun di negeri ini.
Titah baginda, penyesuaian kesantunan berbahasa dalam suasana kontemporari dan normal baharu yang dihadapi kini perlu diterapkan selaras dengan adat dan budaya kita yang bertunjangkan akhlak yang dianjurkan agama.
"Janganlah kiranya pandemik yang telah menjauhkan kita pada fizikal, akan menjauhkan pula kita di alam maya ekoran ekspresi negatif di media sosial.
"Kita boleh berbeza pandangan, tetapi ia harus ditertib dan diluruskan dengan bahasa yang santun dan berbudi pekerti," titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah sedemikian menerusi siaran media oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika berkenan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis Sidang Ke-Dua bagi tahun 2021 yang diadakan secara digital pada Jumaat.
Baginda bertitah, apa yang dimaksudkan dengan kesantunan berbahasa itu bukanlah membawa kepada makna ketinggian laras bahasa atau pemilihan perkataan yang menarik dan mempersona.
"Tetapi ia adalah berkaitan dengan penggunaan bahasa yang sopan dan beradab, berbudi tinggi serta sesuai dengan ajaran akhlak Islam," titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kesantunan berbahasa merupakan aspek penting dalam usaha untuk berkomunikasi dengan individu lain.
"Ini adalah kerana bahasa yang santun akan mewujudkan kesesuaian sosial, dalam menyesuaikan penggunaan perkataan berdasarkan suasana dan keadaan yang dialami," titah baginda.
Baginda menambah bahawa bahasa merupakan medium komunikasi yang paling efektif untuk menyampaikan sesuatu maksud dan tujuan kepada orang lain.
Titah baginda, dengan bahasa, sesuatu gagasan besar atau pemikiran yang dicambah dapat disebarluaskan yang akhirnya dapat melahirkan perasaan, tindakan dan kepercayaan yang mendalam dalam kalangan manusia.
"Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian yang tidak memberikan perhatian kepada elemen kesantunan dalam berbahasa.
"Sesuatu yang terpendam di dalam hati akhirnya diluahkan dalam keadaan yang tidak wajar yang akhirnya membawa kepada pergeseran dan salah faham," titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!