BUKIT MERTAJAM - Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki merogol anak gadisnya sejak mangsa berusia enam tahun lagi di Taman Seri Delima di sini. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, perkara itu terbongkar selepas mangsa yang kini berusia 18 tahun membuat laporan polis baru-baru ini. Menurutnya, kejadian terbaharu yang menimpa mangsa pada Selasa lalu apabila gadis berkenaan dicabul oleh bapanya yang berusia 45 tahun ketika berada di rumah pada jam 6.30 pagi. "Kejadian berlaku semasa mangsa berada di ruang tamu rumah dan didatangi bapanya yang kemudian merabanya. "Ketika itu emak mangsa berada di dalam bilik air dan apabila keluar, lelaki itu terus memberhentikan perbuatannya," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Jumaat. Shafee berkata, hasil keterangan, gadis berkenaan memberitahu bahawa dia telah dicabul dan dipaksa melakukan hubungan seks oleh suspek yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang itu sejak mangsa berusia enam tahun dan perkara tersebut berlaku hampir setiap hari. Katanya, mangsa tertekan dengan kejadian tersebut dan tidak melaporkan kepada pihak polis untuk mengelakkan ibu bapanya bercerai. "Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan anak sulung daripada dua beradik. "Suspek didapati memaksa pengadu melakukan hubungan seks sejak mangsa berumur enam tahun dan pernah meliwat anaknya itu ketika dia berumur 15 tahun tanpa pengetahuan emaknya. "Kejadian ini berterusan sehingga yang terbaharu pada 25 Mei lalu," katanya. Shafee berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Seberang di sini dan sedang menjalani pemeriksaan lanjut manakala polis kini sedang giat mengesan suspek yang dipercayai telah melarikan diri.