MAIK larang kuliah bertentangan dasar kerajaan
KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melarang semua pengajaran kuliah yang bertentangan dengan dasar kerajaan berkaitan penularan wabak dan program vaksinasi Covid-19.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, tindakan itu diambil susulan ada pendakwah termasuk pemegang tauliah majlis agama itu dikesan mengulas mengenai penularan wabak Covid-19 dan program vaksinasi.
"Perkara itu memberi kesan negatif terhadap langkah kerajaan untuk membendung wabak Covid-19 daripada terus merebak di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau memberitahu, MAIK tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas kepada pegawai masjid bandar, jajahan, mukim, pemegang tauliah mengajar MAIK dan pendakwah jika didapati melakukan kesalahan tersebut.
Tengku Mohamad Rizam berkata, perkara tersebut sudah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri.
Katanya, MAIK berharap kerjasama semua pihak terutama pegawai masjid bandar, jajahan, mukim, pemegang tauliah mengajar MAIK dan pendakwah menyampaikan pengajaran yang selari dengan dasar kerajaan berkaitan penularan wabak Covid-19 dan program imunisasi serta vaksinasi.
Tengku Mohamad Rizam berkata, dalam situasi darurat ketika ini, semua pihak perlu menghentikan semua perbezaan dan pendapat berkaitan perkara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!