Maqis rampas 19,308 kg isi ikan dari China
BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 19,308 kilogram isi ikan sejuk beku yang dibawa masuk dari China di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini pada Khamis.
Pengarahnya, Noriah Dahlan berkata, rampasan itu dibuat susulan pemeriksaan sebuah kontena yang dilakukan pada jam 5.45 petang di pelabuhan terbabit sebelum menemui 1,679 kotak yang mengandungi isi ikan sejuk beku iaitu Frozen Amberjack Fish Meat.
Menurutnya, kesemua barangan dagangan berkenaan dianggarkan melebih RM56,570.55 ditahan kerana komoditi yang dibawa masuk adalah berbeza dengan komoditi yang diiystihar pada permit import sah yang dikeluarkan daripada Maqis.
"Kesalahan kemasukkan komoditi yang berbeza serta mengelirukan pada Permit Import Maqis adalah salah dan akan disiasat dibawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
"Mana-mana orang yang memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan. Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Noriah berkata, Maqis komited dalam melakukan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian, perikanan dan haiwan yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti dan selamat untuk dimakan oleh rakyat Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!