Sudah sembilan hari suami hilang di laut

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan tiga nelayan dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan Terengganu namun mayat dua daripadanya sudah ditemui.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan tiga nelayan dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan Terengganu namun mayat dua daripadanya sudah ditemui.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - "Jika sudah meninggal dunia di mana jasadnya," demikian luah isteri nelayan yang hilang di laut sejak sembilan hari lalu.

Noorfadilah Abd Rashid, 31, berkata, suaminya, Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, keluar ke laut dari jeti Marang sekitar jam 7 pagi pada 20 Mei lalu sebelum diberitahu hilang dua jam kemudian.

"Sudah sembilan hari suami saya hilang di laut. Anak sulung mula pelik dan bertanya di mana ayah mereka kerana sudah lama tidak balik. Saya sendiri buntu kerana sudah berhari-hari usaha mencari dilakukan namun tidak menemui sebarang petunjuk.

"Kalau ditakdirkan dia sudah meninggal dunia saya pasrah dan reda atas ketentuan Ilahi. Cuma saya berharap sangat agar jasadnya ditemui dan dikuburkan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Noorfadilah berkata, pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu memaklumkan telah menghentikan operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) suaminya pada Khamis selepas lebih seminggu tidak menemui sebarang petunjuk.

Noorfadilah meriba anaknya, Wan Nursyifaadelia disamping anak sulungnya, Wan Nursofiaazzahra.
Noorfadilah meriba anaknya, Wan Nursyifaadelia disamping anak sulungnya, Wan Nursofiaazzahra.

"Walaupun pihak Maritim Malaysia sudah menamatkan operasi mencari suami, namun mereka maklumkan akan terus berusaha mencari petunjuk baharu.

"Rakan-rakan nelayan dan kenalan suami juga tidak putus-putus berusaha menjejakinya di laut. Keluarga juga buat solat hajat dan tidak putus berdoa. Saya harap dapat petunjuk baharu akan keberadaan suami saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noorfadilah yang juga suri rumah sepenuh masa turut menjaga bapanya yang uzur di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus.

Pasangan suami isteri itu mempunyai dua anak yang masih kecil iaitu Wan Nursofiaazzahra, 4, dan Wan Nursyifaadelia, 8 bulan.

Wan Mohd Sufian disyaki hilang di laut setelah bot mangsa ditemui nelayan tempatan pada kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

ARTIKEL BERKAITAN:Tiga nelayan dikhuatiri hilang dalam dua kejadian berasingan

Mayat kedua nelayan hilang ditemukan



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!