Suntikan vaksin fasa ketiga dijangka bermula Jun: Dr Noor Azmi
PARIT BUNTAR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka melaksanakan suntikan vaksin bagi fasa ketiga pada Jun ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada Jumaat.
Beliau berkata, fasa ini diberikan kepada mereka berumur 18 tahun ke atas dalam usaha kerajaan mengekang kes penularan Covid-19 khasnya dalam kalangan generasi muda yang semakin meningkat dan membimbangkan ketika ini.
“Sambutan orang ramai terhadap vaksinasi semakin bertambah apabila kerajaan menawarkan tempahan vaksin AstraZeneca yang dibuat baru-baru ini yang mana ia mendapat tempahan meningkat dengan lebih satu juta dos telah habis dalam tempoh sejam.
“Ini membuktikan rakyat semakin memahami kepentingan mengambil vaksin bagi mencegah Covid-19 kerana kita tahu kemuncak kes meningkat dan begitu juga dengan kematian hampir 60 orang setiap hari,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Taman Kerian Permai di sini pada Jumaat.
Pada Mac lepas, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, vaksinasi untuk fasa ketiga melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas akan bermula dari Mei 2021 hingga Februari 2022.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan mempercepatkan fasa ketiga tidak bermakna kerajaan telah berputus asa dengan mereka yang masih belum mendaftar pada fasa kedua.
Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, bagi menyedarkan kepentingan mengambil vaksin, pihaknya meminta para imam supaya memberikan penerangan mengenai kepentingan vaksinasi dalam setiap khutbah dan pengajian supaya rakyat mendaftar untuk menerima vaksin.
“Sekarang ini yang hangat diperkatakan ialah orang daftar tidak datang bagi mendapatkan suntikan dengan alasan mengatakan tidak sihat, takut dan tidak ada kenderaan. Justeru, anak-anak juga perlu memainkan peranan dengan memujuk ibu bapa mereka supaya setuju untuk datang.
“Penerangan anak-anak dapat mengurangkan ketakutan dan ragu-ragu kepada ibu bapa yang juga golongan berumur dan mudah terdedah dengan Covid-19,” katanya.
Ditanya mengenai PPV yang mungkin ditambah, Noor Azmi berkata, ia bergantung kepada keperluan dari semasa ke semasa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!