Masjid Al-Khairiyah semak kiblat sempena Istiwa’ A’dzam
GOMBAK - Pengurusan Masjid Al-Khairiyah tidak melepaskan peluang membuat semakan arah kiblat sempena fenomena Istiwa’ A’dzam pada petang Jumaat.
Semakan dilakukan bersama Timbalan Setiausaha Persatuan Falak Negeri Selangor, Sukiman Sangat yang menunjukkan kaedah menyemak arah kiblat menggunakan bayang cahaya mahatari sekitar jam 5.22 petang.
Setiausaha Masjid Al-Khairiyah, Mohd Rohisham Mohd Ikhlak berkata, cuaca yang baik dan tidak mendung memudahkan semakan arah kiblat itu dilakukan.
Menurutnya, semakan arah kiblat secara berkala akan dibuat bagi memastikannya berada di kedudukan tepat.
"Selain fenomena Istiwa’ A’dzam, masjid menggunakan kaedah lintasan cahaya matahari menggunakan Cermin Cahaya Kiblat.
"Masjid kita adalah yang pertama mempunyai kemudahan itu yang membolehkan arah kiblat disemak setiap hari menggunakan lintasan cahaya yang masuk ke cermin tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Istiwa’ A’dzam berlaku dua kali setahun iaitu pada hari ini (Jumaat) dan 16 Julai depan iaitu apabila kedudukan matahari berada pada titik zenith iaitu tepat di atas Kaabah di Masjidil Haram, Makkah, Arab Saudi.
Apabila Istiwa’ A’dzam ini berlaku, bayang-bayang objek tegak akan menunjukkan arah Kaabah (kiblat).
Semakan kiblat boleh dilakukan antara 5.10 petang hingga 5.40 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!