Penduduk Myanmar tidak mampu beli ikan kering
RAMPASAN kuasa tentera yang berlaku di Myanmar pada 1 Februari lalu bagi menggulingkan kerajaan awam yang dipilih menerusi pilihan raya turut menyebabkan harga makanan di negara tersebut meningkat naik.
Ekoran rampasan kuasa tersebut, kedudukan ekonomi dan sistem perbankan menjadi lumpuh selepas pemimpin demokrasi, Aung San Suu Kyi yang juga Penasihat Negara ditahan dan dikenakan pelbagai dakwaan oleh pemerintah tentera.
Dalam pada itu, tindakan keras pihak tentera ketika menyuraikan tunjuk perasaan di kebanyakan tempat di negara berkenaan telah menyebabkan hampir 1,000 orang awam terbunuh selain turut menambahkan lagi penderitaan penduduk tempatan.
Keadaan negara tersebut kini tidak stabil manakala bandar Yangon kelihatan seperti kubu pertahanan buat para penunjuk perasaan yang membantah rampasan kuasa tentera itu mengakibatkan sebahagian besar penduduk tempatan hilang punca pendapatan.
Kehidupan normal orang awam telah hilang selepas tunjuk perasaan berlaku, kilang-kilang ditutup, harga minyak melonjak tinggi manakala penduduk yang mempunyai simpanan wang di bank-bank terpaksa beratur panjang untuk mengeluarkan wang.
Myanmar sebelum ini terkenal kerana mengeksport beras, kacang-kacang dan buah-buahan tetapi pertubuhan Program Makanan Sedunia pernah memberi amaran bahawa berjuta-juta penduduk di negara itu akan kelaparan dalam tempoh beberapa minggu lagi.
"Kami perlu memberikan makan kepada anak-anak kami supaya mereka tidak akan berasa lapar," kata seorang ibu, Aye Mar berusia 33 tahun seperti dilaporkan oleh AFP.
Dia yang mempunyai tujuh orang anak duduk di sebuah dapur di Yangon baru-baru ini dan memikirkan sama ada nasi dan sayur-sayurannya mencukupi untuk mengisi perut mereka yang kosong.
Mar bersama suaminya terpaksa mengambil apa sahaja pekerjaaan bagi mencari wang untuk menyara kehidupan.
Seorang lagi penjaja makanan, Wah Wah, 37, berkata, kenaikan harga makanan sejak rampasan kuasa itu menyebabkan pelanggan-pelanggannya tidak lagi mampu untuk membeli makanan seperti sepinggan ikan kering.
"Saya tidak dapat menjual sepinggan ikan kering kerana pelanggan-pelanggan tidak mampu membelinya walaupun saya menjualnya pada harga 500 kyat (RM1.25) sepinggan," kata wanita itu seperti dilaporkan oleh AFP.
"Setiap orang perlu membelanjakan wang dengan berhati-hati kerana tiada sesiapa pun yang mempunyai pekerjaan. Kami hidup dalam ketakutan kerana kami tidak tahu apa yang akan terjadi," tambahnya.
Bapa kepada tiga orang anak, Win Naing Tun, 26, berkata, sebahagian penduduk lagi hanya makan nasi dengan berlaukkan garam.
Menurut portal berita Eleven, harga minyak sayur-sayuran 1.8 liter sebotol naik dari 3,500 kyat (RM8.77) kepada 4,500 kyat (RM11.28) manakala harga ayam ladang meningkat dari 5,000 kyat (RM12.53) kepada kira-kira 6,000 kyat (RM15.04) bagi setiap satu viss.
Viss ialah ukuran berat tradisional Myanmar yang bersamaan dengan 1.6 kilogram (kg).
Kos pengangkutan dari ladang ke bandar-bandar besar Myanmar turut meningkat selepas harga minyak melonjak kira-kira 30 peratus sejak rampasan kuasa tentera manakala harga beras stabil tetapi harga beras berkualiti dilaporkan turut meningkat sebanyak 10 hingga 15 peratus.
Dalam pada itu, satu program sumbangan makanan yang menyediakan makanan percuma di Yangon mendapat permintaan tinggi daripada penduduk.
"Mereka (penduduk) berasa gembira apabila kami mendermakan makanan. Ada (penduduk) yang menangis (mendapat makanan percuma)," kata seorang sukarelawan, May yang enggan mendedahkan nama sebenarnya kepada AFP.
Seorang lelaki, Aung Kyaw Moe, 47, kini sedang mempertimbangkan untuk pulang ke kampung selepas sebuah kilang tempat dia bekerja di Yangon sudah ditutup.
Moe memberitahu AFP bahawa dia tidak mempunyai wang simpanan dan sedang buntu memikirkan bagaimana mahu menyara keluarganya yang seramai sembilan orang itu.
Sebelum ini, pihak tentera merampas kuasa selepas membuat dakwaan berlakunya penipuan undi dalam pilihan raya umum yang diadakan pada November 2020 tetapi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Myanmar menafikan penipuan tersebut berlaku menyebabkan ia bertindak menggulingkan kerajaan awam.
Dalam pilihan raya itu, Suu Kyi yang merupakan pemimpin Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) menang besar sekali gus boleh membentuk kerajaan tetapi pihak tentera kemudian bertindak melakukan rampasan kuasa dan menangkap beberapa pemimpin NLD. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!