Kaut untung jual burung terancam

Jabatan Perhilitan menerusi operasi khas di seluruh negara berjaya merampas pelbagai spesies burung yang terancam dan dilindungi.
Jabatan Perhilitan menerusi operasi khas di seluruh negara berjaya merampas pelbagai spesies burung yang terancam dan dilindungi.
A
A
A

HUTAN hujan Malaysia adalah habitat alam yang kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna, namun kerakusan manusia menceroboh hutan tanpa rasa simpati mengakibatkan hidupan liar khususnya spesies burung yang dilindungi kian menyusut jumlahnya.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya melakukan pelbagai inisiatif untuk menyelamatkan hidupan ini dengan mengekang aktiviti pemburuan haram.

“Pada tahun 2019, seramai 49 orang telah ditahan dengan 1,401 ekor burung bernilai RM623,100 dirampas.

“Pada tahun berikutnya, seramai 53 orang diberkas dengan 2,609 ekor burung dirampas melibatkan nilai rampasan mencecah RM1 juta.

“Tahun ini sehingga April, kita merampas 2,500 ekor burung bernilai RM863,000 susulan tangkapan ke atas 10 orang,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Abdul Kadir
Abdul Kadir

Di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716], terdapat lebih 1,000 spesies burung yang dilindungi di negara ini. Ia melibatkan spesies tempatan dan luar negara termasuk kategori burung hijrah, burung tanah tinggi, burung tanah pamah dan burung air.

Menurut beliau, spesies yang dilindungi di bawah Akta 716 termasuklah keluarga helang, enggang, kuang, merak, pekaka, kakak tua, burung hantu, murai, takau, cecawi, camar, layang-layang, belatuk, bangau, pucung dan banyak lagi.

Artikel Berkaitan:

Abdul Kadir berkata, antara spesies yang popular dan mempunyai nilai pasaran yang tinggi ialah murai batu, serindit, kelicap kunyit, burung daun, burung sun wu, burung hua mei, burung kakak tua dan barau-barau.

Burung spesies sewah tahu atau saintifiknya Eudynamys scolopaceus antara spesies burung yang dilindungi.
Burung spesies sewah tahu atau saintifiknya Eudynamys scolopaceus antara spesies burung yang dilindungi.

Pasaran gelap

“Terdapat juga burung helang yang ditawarkan di pasaran gelap.

“Spesies ini menarik perhatian peminat burung disebabkan beberapa faktor seperti kecantikannya, suara kicau yang merdu dan jarang ditemui,” ujar beliau.

Menurut Abdul Kadir, pemburuan haram merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kepupusan hidupan liar dengan murai batu misalnya ditangkap di kawasan hutan dan dijual kepada orang tengah.

“Burung ini kemudian dijual kepada pembeli di dalam negara atau diseludup ke luar negara kerana harganya jauh lebih tinggi,” kata beliau.

Jabatan Perhilitan merampas pelbagai spesies burung yang terancam akibat pemburuan haram termasuk spesies murai batu.
Jabatan Perhilitan merampas pelbagai spesies burung yang terancam akibat pemburuan haram termasuk spesies murai batu.

Pemburuan haram banyak berlaku di habitat burung tersebut iaitu kawasan pinggir hutan dan ladang kelapa sawit.

“Selain itu, kawasan hutan berpulau iaitu lokasi burung ini membuat sarang dan mencari makan juga merupakan lokasi panas pemburuan haram spesies burung,” katanya.

Abdul Kadir berkata, terdapat pelbagai modus operandi penjenayah yang berjaya dikenal pasti oleh Perhilitan.

“Pemburu akan menghantar hasil tangkapan iaitu spesies burung dilindungi ini kepada orang tengah. Kemudian, orang tengah ini akan menyediakan stor untuk menyimpan burung sehingga mencapai kuantiti yang dikehendaki.

“Setelah itu, burung tersebut akan diseludup melalui sempadan laut dari Johor ke Indonesia atau melalui sempadan darat di utara Semenanjung,” jelasnya.

Burung daripada spesies tiong mas antara yang cuba diseludup hasil kegiatan pemburuan haram.
Burung daripada spesies tiong mas antara yang cuba diseludup hasil kegiatan pemburuan haram.

Lazimnya, burung ini diseludup pada waktu malam bagi mengelak dikesan oleh agensi penguat kuasa.

Media sosial pula menjadi platform utama penjualan burung kerana capaian pasaran yang meluas dan sukar dijejaki oleh agensi penguat kuasa.

Bagaimanapun, ujar Abdul Kadir, pihaknya sentiasa mengambil maklum mengenai trend penjualan haram secara dalam talian dengan memantau akaun media sosial yang terlibat.

Burung pucung keladi atau Butorides striatus yang dirampas Jabatan Perhilitan dipercayai cuba dijual pemburu kepada individu lain.
Burung pucung keladi atau Butorides striatus yang dirampas Jabatan Perhilitan dipercayai cuba dijual pemburu kepada individu lain.

Setelah mengesan aktiviti haram tersebut, katanya, Perhilitan akan mengumpul maklumat berkaitan. Jika terdapat asas dalam pelanggaran Akta 716, maka tindakan penguatkuasaan akan diambil.

“Bagi penjualan di platform perniagaan online, kita akan menghubungi pengendali platform tersebut dan meminta supaya iklan yang melanggar Akta 716 diturunkan atau dipadamkan.

“Jabatan juga bekerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan semua agensi penguat kuasa dalam mencegah dan memerangi jenayah hidupan liar,” terang beliau.

Denda RM1 juta tunggu penyeludup hidupan liar

Menurut Abdul Kadir, faktor keuntungan dan harga yang tinggi menjadi pencetus kepada aktiviti pemburuan dan penyeludupan hidupan liar.

“Bagi kebanyakan penduduk di kawasan kampung, mereka menjadikan kegiatan memburu burung spesies terancam sebagai hobi dan sumber pendapatan.

“Akibatnya, sumber hidupan liar di hutan Malaysia semakin pupus,” katanya.

Lang merah atau nama saintifiknya Haliastur indus adalah antara burung yang mendapat permintaan di pasaran gelap.
Lang merah atau nama saintifiknya Haliastur indus adalah antara burung yang mendapat permintaan di pasaran gelap.

Sehubungan itu, bagi melindungi spesies haiwan terancam, Abdul Kadir berkata, Perhilitan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut Akta 716.

Mengikut akta itu, jika ia melibatkan spesies dilindungi sepenuhnya, individu terbabit boleh dipenjarakan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM500,000. Bagi spesies yang dilindungi pula pesalah boleh dipenjarakan tidak lebih tiga tahun dan denda tidak lebih RM50,000.

Berdasarkan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) pula, orang perseorangan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun dan denda tidak lebih RM1 juta manakala untuk pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak lebih RM2 juta.

Spesies pacat bakau adalah antara burung yang dijual di pasaran gelap.
Spesies pacat bakau adalah antara burung yang dijual di pasaran gelap.

Bagaimanapun, Perhilitan tidak bersendirian dalam membanteras pemburuan haram.

Antara agensi penguat kuasa yang berkolaboratif dalam usaha ini ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Pada masa sama, Perhilitan juga bekerjasama dengan agensi-agensi lain seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk) dan Perbadanan Taman Negeri Johor (PTNJ). Ia dikenali sebagai Ops Bersepadu Khazanah (OBK).

“Begitu juga dengan pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS), Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (Pelindung), Pakatan Pemuliharaan Harimau Malaysia (MYCAT), Rimba dan Tabung Hidupan Liar (WWF), mereka memberi kerjasama yang baik kepada kami,” kata beliau.

27 operasi dalam dua tahun

Abdul Kadir mendedahkan, antara tahun 2019 hingga 2020, melalui 27 siri operasi OBK yang dijalankan, sebanyak 112 kertas siasatan telah dibuka yang melibatkan 222 orang pesalah jenayah.

Sebanyak 1,132 jerat pula telah berjaya dimusnahkan dengan jumlah keseluruhan nilai sitaan adalah sebanyak RM4.55 juta.

“Untuk tahun 2021 sehingga bulan Mac, sebanyak tiga siri operasi telah dijalankan. Sebanyak 19 kertas siasatan telah dibuka atas pelbagai kesalahan jenayah dengan jumlah keseluruhan nilai sitaan sebanyak RM656,000.

“Sebanyak 104 jerat telah dimusnahkan, 15 kesan khemah pendatang asing dijumpai, 10 kesan tebangan pokok karas serta 51 kesan pemburuan lain telah berjaya direkodkan.

“Seramai 43 orang pesalah juga telah berjaya ditangkap. Mereka terdiri daripada 35 warga tempatan dan lapan warga asing,” katanya.

Operasi keseluruhan OBK sejak tahun 2019 sehingga Mac 2021 juga telah berjaya merampas dan menyita sebanyak 18 laras senjata api berlesen dan senjata api buatan sendiri.

Kes tersebut disiasat di bawah Akta Senjata Api 1960 [Akta 206] dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] oleh pihak PDRM.

Jabatan Perhilitan menerusi operasi khas di seluruh negara berjaya merampas pelbagai spesies burung yang terancam dan dilindungi.
Jabatan Perhilitan menerusi operasi khas di seluruh negara berjaya merampas pelbagai spesies burung yang terancam dan dilindungi.

Perhilitan melalui Unit Anjing Pengesan (K9) telah mempergiat operasi dengan kerjasama JKDM terutamanya di lapangan terbang, pintu sempadan negara dan pelabuhan dengan sasaran 12 operasi untuk tahun 2021.

“Kerjasama juga melibatkan perkongsian maklumat perisikan jenayah hidupan liar rentas sempadan.

“Selain itu, penyertaan Perhilitan dalam Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) turut menyumbang kepada usaha mencegah penyeludupan hidupan liar ini. Pasukan itu dibentuk pada Mei 2020 dengan diterajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertujuan menyekat kemasukan pendatang asing ke Malaysia kerana dikhuatiri membawa penyakit Covid-19,” terang beliau.

Abdul Kadir menegaskan, pihaknya begitu serius dan komited dalam usaha memulihara khazanah biodiversiti negara dengan membasmi jenayah hidupan liar ini.

“Operasi penguatkuasaan berlangsung sepanjang tahun dan tidak pernah berhenti.

“Selain itu, jabatan juga berusaha meminda Akta 716 dengan hukuman yang lebih berat kepada penjenayah hidupan liar ini.

“Kita menyeru semua pihak berganding bahu memperhebat usaha dalam membanteras jenayah hidupan liar,” ujarnya.

INFO

Tahun 2019

Bilangan operasi penguatkuasaan - 1,169

Bilangan tangkapan individu - 49 orang

Bilang burung dirampas - 1,401 ekor

Nilai rampasan - RM623,100

Tahun 2020

Bilangan operasi penguatkuasaan - 1,488

Bilangan tangkapan individu - 53 orang

Bilang burung dirampas - 2,609 ekor

Nilai rampasan - RM1 juta

Tahun 2021 (sehingga April)

Bilangan operasi penguatkuasaan - 257

Bilangan tangkapan individu - 10 orang

Bilang burung dirampas - 2,500 ekor

Nilai rampasan - RM863,000

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!