Kerja sosial diangkat sebagai perkhidmatan profesional
PUTRAJAYA - Perkhidmatan kerja sosial akan diangkat sebagai perkhidmatan profesional di bawah Pelan Strategik Kementerian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2021-2025, kata Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Beliau berkata, KPWKM turut menggubal Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial bagi tujuan mempunyai tenaga kerja yang komited dan profesional dan mewujudkan tadbir urus yang baik dalam bidang kerja sosial.
"Profesion kerja sosial menjadi amat signifikan bagi memenuhi keperluan klien yang semakin kompleks dan dinamik lebih-lebih lagi dalam era cabaran baharu yang dibawa oleh kemajuan teknologi khususnya teknologi digital dan juga kesan pandemik Covid-19 yang melanda dunia," katanya.
Rina berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Simposium Kebangsaan Kerja Sosial 2021 yang berlangsung secara maya, hari ini. Simposium tiga hari bertemakan ‘Memperkukuhkan Solidariti Sosial dan Keterhubungan Global’ itu bermula pada 27 Mei lepas.
Rina berkata, perancangan KPWKM untuk memprofesionalkan bidang kerja sosial adalah selari dengan usaha sama dan komitmen ASEAN dalam mengukuhkan perkhidmatan kerja sosial melalui Hanoi Declaration on Strengthening Social Work Towards Cohesive and Responsive ASEAN Community yang diperakui oleh para pemimpin ASEAN pada 2020.
Beliau dalam pada itu berkata Institut Sosial Malaysia (ISM), pusat latihan yang menawarkan pelbagai kursus dalam bidang kerja sosial, telah melatih hampir 5,000 warga kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak ditubuhkan 2002 sehingga 2020.
"Saya percaya bahawa ilmu dan kemahiran dari bidang kerja sosial ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga kerja JKM dalam merancang, membangun dan melaksanakan perkhidmatan kebajikan sosial bagi pelbagai kumpulan sasar yang memerlukan bantuan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!