Cara pendaftaran penerimaan vaksin tidak tersusun: Dr Mahathir
SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat cara pendaftaran penerimaan vaksin di negara ini tidak tersusun dengan baik.
Menurutnya, pendaftaran secara dalam talian bukanlah satu cara yang semua orang boleh lakukannya.
“Ada orang yang ada telefon cekap, mereka boleh daftar dalam talian. Tetapi ramai orang tua dan orang yang tidak begitu terpelajar mereka tidak boleh daftar dalam talian sebab itu mereka ketinggalan.
“Satu usaha mesti dibuat untuk diberi suntikan kepada mereka,” katanya menerusi kenyataan berkenaan situasi semasa Covid-19, keperluan mempermudah cara daftar vaksinasi dan mempercepat pemberian vaksin pada Sabtu.
Dr Mahathir dalam masa yang sama turut memberikan contoh seperti di England apabila ramai yang tidak hadir untuk menerima vaksin, kerajaannya menghantar bas dan ‘penyuntik’ agar mereka ini disuntik di kampung-kampung.
“Ini boleh kita buat tetapi kerajaan tidak buat. Inilah masalahnya. Walaupun kita ada vaksin, tetapi rakyat tidak dapat vaksin itu.
“Kerana urusan untuk mendapat suntikan ini tidak begitu baik pendaftarannya. Selain daripada dalam talian, kita juga perlu cari orang yang tinggal di mana-mana supaya mereka dibawa untuk suntikan,” tegasnya.
Menurutnya, perkara itu amat penting kerana pada masa ini negara telah mencapai 8,000 kes sehari dan banyak lagi yang akan dijangkiti sekiranya tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan tidak mendapat suntikan vaksin.
Sementara itu, Dr Mahathir berpendapat agar orang ramai menerima vaksin tanpa mengira jenis vaksin yang diterima.
“Jenis vaksin tidak mengapa kerana di negara China lebih 300 juta orang disuntik dengan vaksin China dan mereka tidak menghadapi masalah seperti yang kita hadapi di Malaysia ini.
“Demikian juga di Rusia suntikan dibuat vaksin Rusia dan mereka dapat mengawal perkembangan penyakit ini.
“Jadi jangan kita (memilih) vaksin apa sama ada Pfizer, Astra Zeneca, vaksin China ataupun Rusia kita mesti mendapat suntikan dengan secepat mungkin. Kalau tidak, kemungkinan kita akan mati kerana menghidapi penyakit ini,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!