Usah bimbang, harga roti Gardenia tidak naik: Rosol

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Harga roti Gardenia masih kekal dan tiada kenaikan harga akan berlaku bermula 1 Jun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid.

Sehubungan itu, beliau berkata masyarakat tidak perlu bimbang dan melakukan pembelian panik berikutan tersebarnya surat yang menyatakan bahawa akan berlaku kenaikan harga roti Gardenia.

“Pegawai saya telah memeriksa (kesahihannya) dan mendapati harga roti tidak naik sebaliknya kenaikan harga membabitkan produk lain syarikat itu seperti sapuan perisa kaya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam produk keluaran Gardenia alami kenaikan harga

Beliau mengulas mengenai satu surat syarikat Gardenia yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp yang memaklumkan terdapat perubahan harga produk bermula 1 Jun ini.

Perubahan harga berkenaan juga serentak dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau 'total lockdown' sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri semalam.

“Peniaga, pengguna juga perlu bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan dalam usaha mengurangkan penularan pandemik Covid-19 yang menyaksikan peningkatan jangkitan kes baharu setiap hari.

“Bagi masyarakat, kita ada pengalaman ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama dan pengalaman itu sangat berguna. Jangan lakukan pembelian panik kerana barangan keperluan termasuk pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan sentiasa ada dan mencukupi,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!