Hampir semua ada surat kebenaran rentas negeri
GOMBAK - Hampir keseluruhan pengguna lebuh raya yang melalui sekatan jalan di Plaza Tol Gombak didapati mempunyai alasan dan kebenaran yang sah untuk melakukan perjalanan menghala ke arah Pantai Timur.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya mendapati pengguna lebuh raya itu mempunyai surat kebenaran yang sah sebelum dibenarkan melepasi sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gombak.
"Sebahagian besar yang melalui SJR ini menunjukkan surat kebenaran atas urusan kerja yang disahkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selain surat kebenaran polis," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi SJR Plaza Tol Gombak pada Sabtu.
Arifai berkata, pemeriksaan yang dibuat secara teliti itu mendapati sebahagian besar pengguna lebuh raya turut mempunyai surat kebenaran rentas negeri.
"Selain urusan bekerja dan terbabit dalam perkhidmatan penting, ada antara mereka mempunyai kebenaran atas faktor kecemasan dan perubatan serta pasangan jarak jauh (PJJ)," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, terdapat 14 pemilik kenderaan diarahkan berpatah balik selepas mereka memberikan alasan tidak munasabah dan mengemukakan dokumen tidak lengkap serta meragukan.
"Seramai 14 pemandu diarah berpatah balik, ada daripada mereka membawa rakan sedangkan surat kebenaran adalah untuk faktor PJJ, selain membawa individu lain yang tidak mempunyai kebenaran untuk melakukan perjalanan rentas daerah atau negeri," katanya.
Mengulas mengenai kesesakan lebih satu kilometer ke laluan berkenaan, Arifai memaklumkan ia berkemungkinan disebabkan kenderaan terlalu banyak yang ingin menuju ke Pantai Timur.
"Mereka mungkin memilih untuk melakukan pergerakan pada masa sama antara jam 9 pagi hingga 10 pagi.
"Justeru saya menafikan dakwaan segelintir pihak yang menyatakan bahawa adanya pergerakan luar biasa hari ini sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh dikuatkuasa pada Selasa ini," katanya.
Menurutnya, kesesakan itu juga kerana polis mengambil masa dengan melakukan pemeriksaan secara terperinci bagi mengelak masyarakat melakukan sebarang pergerakan rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran.
"Kita juga akan mempertingkatkan jumlah SJR dan penguatkuasaan Pasukan Pematuhan pada Selasa ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!