Tiada pembelian panik di Johor
JOHOR BAHRU - Tiada pembelian panik dan keadaan terkawal di seluruh negara ini susulan pengumuman penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau 'total lockdown' fasa pertama, bermula Selasa ini.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, bekalan barang keperluan harian terutama makanan mencukupi dan tiada kenaikan harga yang berlaku.
"Sejak pagi tadi tular beberapa keping gambar pelanggan beratur untuk membeli barangan keperluan di beberapa buah pasar raya di seluruh negara.
"Situasi pelanggan beratur panjang di pasar raya itu berdasarkan hasil laporan yang diterima pada hari ini (Sabtu) disebabkan pasar raya menghadkan bilangan pelanggan dalam sesuatu masa selain cuti hujung minggu," katanya selepas melakukan tinjauan di beberapa pasar raya di sekitar Johor Bahru pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro.
Dalam pada itu, Azman berharap pengalaman dilalui masyarakat semasa menempuh PKP 1.0 dan 2.0 sebelum ini menjadikan mereka lebih bersedia sehingga tidak melakukan pembelian panik.
"Pengguna perlu mengelakkan diri daripada melakukan pembelian panik dan membeli barang berlebihan kerana ia dibimbangi akan menyebabkan kehabisan stok dan menyusahkan pengguna lain.
"KPDNHEP memberi jaminan bekalan barang keperluan asas mencukupi dan berada dalam tahap stabil. Selain itu, peniaga dan pengguna perlu memastikan mereka patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.
Menurut Azman, pihaknya sentiasa memantau rantaian pembekalan barangan di peringkat pengilang, peladang, pemborong dan peruncit bagi memastikan bekalan mencukupi.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati tiada luar pembelian luar biasa terhadap barangan keperluan asas.
Pekerja swasta, Mohd Taufik Salimin, 25, berkata, dia tidak membeli barangan dalam kuantiti yang banyak susulan perlaksanaan 'total lockdown' yang diumumkan kerajaan.
"Pengalaman berdepan PKP sebelum ini menunjukkan tidak perlu pembelian panik kerana kedai akan dibuka sepanjang tempoh PKP.
"Barang makanan dan barang basah seperti ikan dan ayam semuanya mencukupi dan harga stabil," katanya.
Pada Jumaat, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau 'total lockdown' fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan.
Semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!