Sokongan kedutaan perkukuh kerjasama pendidikan Malaysia-China
KUALA LUMPUR - Sokongan dan bantuan kedutaan Malaysia di China dapat memperkukuh dan mempertingkat kerjasama pendidikan antara negara itu dengan universiti di Malaysia, demikian menurut Presiden Beijing Foreign Studies University (BFSU), China, Profesor YangDan.
Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin menerusi kenyataannya berkata, semasa program lawatan kerjanya ke universiti itu, Profesor YangDan turut menghargai sokongan kerajaan Malaysia dan kedutaan terhadap universiti serta perkembangan bahasa Melayu.
"Profesor YangDan mengalu-alukan kunjungan Raja Datuk Duta dan memperkenalkan perkembangan universiti, khasnya pengembangan jurusan bahasa Melayu dan Pusat Pengajian Melayu.
"Pada masa yang sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di China dan rakan-rakan dari semua lapisan masyarakat atas sokongan terhadap universiti dan perkembangan bahasa Melayu," menurut kenyataan itu.
Nushirwan berkata, BFSU memainkan peranan dalam melatih pegawai yang berkaitan dengan urusan luar negeri serta kerjasama dan pertukaran asing.
Beliau berbangga dengan perkembangan dan pencapaian jurusan Bahasa Melayu di BFSU selain menyokong usaha memperkukuh kerjasama pendidikan dan budaya serta mempromosikan pertukaran ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara.
Program lawatan kerja itu diadakan sempena meraikan ulang tahun ke-80 BFSU dan ulang tahun ke-60 Institut Pengajian Asia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!