PKP: Pengguna beli stok makanan secara pukal
ALOR SETAR - Orang ramai mula membuat persediaan dengan membeli stok makanan secara pukal susulan pengumuman kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh fasa pertama bermula 1 hingga 14 Jun ini di seluruh negara.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, orang ramai dilihat membuat pembelian barangan keperluan masing-masing dalam kuantiti yang banyak menyebabkan beberapa barangan didapati kehabisan.
Antaranya, stok roti jenama tertentu didapati habis susulan mendapat permintaan luar biasa orang ramai selepas pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Jumaat.
Malah, orang ramai yang membeli sayur-sayuran seperti kobis, bawang, ubi kentang, tomato, kobis dan sebagainya juga terpaksa beratur panjang di kaunter penimbang barangan basah itu.
Seorang penduduk, Syed Taqiyuddin Syed Zulfakar, 30, berkata, beliau membeli barangan keperluan asas sebagai bekalan selama sebulan sebagai langkah persediaan menghadapi total lockdown ini.
Beliau melakukan pembelian pukal bagi mengelak risiko penularan virus kerana tempoh PKP kali ini akan berlangsung dalam tempoh masa yang agak lama berbanding tahun lepas.
"Selepas PKP penuh fasa satu selama dua minggu berakhir 14 Jun, orang ramai akan melalui fasa dua dan fasa ketiga seperti diumumkan kerajaan pada Jumaat.
"Jadi, saya rasa tempoh perlaksanaan kali ini mungkin agak panjang, sekali gus menyebabkan saya mengambil keputusan membeli barangan lebih awal," katanya.
Beliau memberitahu membeli semua barangan basah dan kering seperti beras dan sebagainya dalam kuantiti pukal supaya ia cukup untuk jangka masa panjang serta tahan dalam tempoh lama.
"Saya memang bekerja dari rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kota Setar, jadi saya tidak perlu keluar rumah selalu dan hanya keluar jika ada urusan mustahak," katanya.
Sementara itu, Nordin Ismail, 78, berkata, beliau juga bersegera mendapatkan barangan keperluan asas selepas mendengar pengumuman Perintah Kawalan selama dua minggu.
Menurutnya, dia menyedari kedai runcit ataupun pasar raya dibenarkan beroperasi seperti biasa ketika tempoh berkenaan tetapi tetap membuat persedian awal supaya tidak perlu keluar rumah selalu.
Sementara itu, Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia,Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Wan Romani Wan Salin berkata, orang ramai dinasihatkan tidak membuat pembelian panik susulan total lockdown yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.
Wan Romani berkata, barangan keperluan di Kedah mencukupi untuk menampung keperluan pengguna sepanjang tempoh perlaksanaan bermula 1 hingga 14 Jun 2021 bagi fasa pertama.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah memberi jaminan bekalan barangan keperluan pengguna mencukupi sepanjang PKP penuh ini.
"KPDNHEP Kedah juga akan sentiasa melakukan pemantauan bagi menjamin keperluan barangan mencukupi dan tidak berlaku kenaikan harga dalam tempoh berkenaan," katanya.
"Setakat ini, barangan keperluan utama pengguna seperti barang runcit dan barangan basah mencukupi di negeri-negeri berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan dijalankan 169 pegawai penguat kuasa serta 52 pegawai pemantau harga.
"Sebanyak 180 peruncit daerah terpilih (DDR) dan 53 pemborong daerah terpilih (DDW) dilantik bagi memastikan kedudukan bekalan semasa barangan keperluan asas seperti gula, minyak, tepung, beras, telur dan sebagainya tidak terjejas dan cukup," katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya, penguatkuasan akan dijalankan secara harian dan berterusan bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas sentiasa mencukupi dan mudah diakses pengguna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!