Penuntut UMK maut dirempuh float kuda
Terlucut ke laluan bertengangan dari Ford Ranger masuk ke laluan bertentangan
KOTA BHARU - Seorang penuntut Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) maut apabila kereta dipandu dirempuh float kuda atau semi treler kandang haiwan kosong yang terlucut dari sebuah pacuan empat roda di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 1, Pengkalan Chepa, di sini pada Jumaat.
Mangsa, Mohammad Irfan Mustaffa, 23, dari Kampung Pengkalan Kubor, Salor, di sini, meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 7.40 malam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, sebelum kejadian, dipercayai Ford Ranger yang membawa semi treler itu dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun dari arah Jabatan Penjara Pengkalan Chepa menghala ke Petron Chabang Tiga, Pengkalan Chepa.
Katanya, sampai di tempat kejadian, sebuah kenderaan datang dari arah bertentangan cuba memotong kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu Mohammad Irfan.
“Disebabkan jarak dekat, pemandu Ford Ranger brek secara mengejut dan cuba mengelak ke bahu kiri jalan menyebabkan semi treler yang dibawa terlepas lalu memasuki lorong bertentangan.
“Akibatnya, kenderaan tersebut bertembung Perodua Bezza pada bahagian depan sebelah kanan menyebabkan kemek dan menghimpit paha kanan mangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa tersepit di ruang pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat.
“Siasatan awal kemalangan ini berlaku dipercayai akibat kecuaian pemandu Ford Ranger yang membawa semi treler dalam keadaan berbahaya dengan memberek secara mengejut lalu menyebabkannya terlepas semasa pemanduan sehingga memasuki laluan bertentangan dan bertembung kereta mangsa,” katanya.
Menurut beliau, siasatan mendapati semi treler yang dibawa tersebut tidak berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Pemandu Ford Ranger tersebut seorang peniaga ditahan untuk siasatan lanjut dan urinnya negatif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!