Maut tersepit dalam mesin sarung tangan

Anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mayat mangsa.
Anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mayat mangsa.
A
A
A

MELAKA - Seorang pekerja warga Bangladesh maut selepas tersepit pada mesin membuat sarung tangan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kelemak di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, mangsa Md Al Mamun, 31, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi, mengesahkan kejadian dan pihaknya masih menyiasat punca sebenar insiden tersebut.

“Maklumat awal daripada majikan, ketika kejadian mangsa bekerja sendirian di bahagian itu pada syif malam.

“Kami tidak menolak kemungkinan punca kejadian itu berlaku selepas baju dipakai mangsa tersangkut pada mesin berkenaan menyebabkan dia tersepit,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah bagi tujuan bedah siasat dan kes disiasat sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Zaidi Safuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.51 pagi dan sebuah jentera bersama sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di tempat kejadian, pasukan kami mendapati terdapat seorang lelaki warga Bangladesh tersepit pada sebuah mesin memproses dan sudah tidak sedarkan diri.

Artikel Berkaitan:

“Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira dua jam untuk membuka mesin berkenaan bagi mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!