KP Kesihatan tegur orang ramai rentas negeri beramai-ramai

Gambar yang tular menunjukkan kesesakan di Plaza Tol Gombak keluar dari ibu negara dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengumuman pelaksanaan PKP penuh di seluruh negara pada Jumaat.
Gambar yang tular menunjukkan kesesakan di Plaza Tol Gombak keluar dari ibu negara dalam tempoh kurang 24 jam selepas pengumuman pelaksanaan PKP penuh di seluruh negara pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dalam tempoh kurang 24 jam selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara bermula 1 Jun, kesesakan lalu lintas dilaporkan di laluan menghala ke pantai timur dan selatan.

Gambar kesesakan itu tular di media sosial dan menarik perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menegur tindakan orang ramai kerana masih melakukan perjalanan walaupun arahan larangan rentas daerah dan negeri masih berkuat kuasa.

Dr Noor Hisham, turut memuat naik dua keping gambar di akaun Facebook beliau iaitu keadaan trafik dari ibu negara menghala ke pantai timur di Plaza Tol Gombak pada 10.20 pagi ini dan di Plaza Tol Sungai Besi di Lebuh Raya Utara Selatan pada jam 10.30 pagi yang menyaksikan deretan kenderaan yang panjang.

“Ke manakah arah tujuan anda pada hujung minggu ini? Pergerakan besar-besaran masih berlaku walaupun larangan merentas daerah dan negeri telah dikeluarkan,” katanya.

Beliau menegaskan, membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke kawasan lain tidak akan membantu usaha membendung penularan jangkitan virus Covid-19.

“Duduklah di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting. Bantulah selamatkan sistem kesihatan negara yang bakal lumpuh sekiranya peningkatan Covid-19 tidak terkawal.

“Sekiranya kami (petugas kesihatan) rebah, anda dan ahli keluarga anda mungkin tidak akan menerima rawatan kesihatan yang sebaiknya. Lebih malang, tiada lagi katil untuk anda di hospital. Apatah lagi jika anda tenat dan kritikal tetapi katil Unit Rawatan Rapi (ICU) sudah penuh semuanya.

“Petugas barisan hadapan sudah penat tapi kami masih gagahi juga demi menyelamatkan nyawa anda,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam tempoh 55 minit catatan itu dibuat, ia dikongsi oleh lebih 5,000 pengguna Facebook dan mendapat hampir 3,000 komen yang antara lain menyifatkan mereka yang berada di jalan raya sebagai degil, tidak membantu pasukan petugas kesihatan negara serta wajar dikenakan tindakan.

“Degil betullah,” komen seorang pengguna Facebook, Cindy Lim sementara seorang lagi pengguna media sosial sama, Nur Azielah Yahaya melahirkan rasa simpati kepada petugas barisan hadapan negara yang terpaksa berdepan dengan sikap keras kepala segelintir rakyat Malaysia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe menjelaskan, kesesakan sehingga dua kilometer di Plaza Tol Gombak menuju Bentong, Pahang yang tular di media sosial hari ini adalah disebabkan polis melakukan pemeriksaan sekatan jalan raya yang teliti di laluan keluar dari ibu kota.

Ujar beliau, kesesakan berlaku kerana terdapat banyak kenderaan yang mempunyai urusan kerja serta surat kebenaran daripada majikan untuk merentas negeri dan setakat ini, 12 individu diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai alasan kukuh serta surat kebenaran untuk merentas negeri.

“Ada surat daripada majikan dan polis namun tiada dokumen sokongan misalnya memberikan alasan bekerja tapi surat terlalu umum seperti tarikh tugasan tidak dinyatakan, ada juga yang dapat kebenaran polis untuk akad nikah tetapi tarikh akad nikah tidak dinyatakan dalam surat sokongan. Itu yang diarah patah balik,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya pula berkata, majoriti pengguna jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Jalan Duta mempunyai surat kebenaran daripada majikan atas alasan bekerja.

Dr Noor Hisham menerusi akaun Twitter beliau meminta petugas barisan hadapan kesihatan terus cekal dan tabah dalam perjuangan mereka memerangi Covid-19.

“Kepada semua petugas barisan hadapan, meskipun kita sudah lama tidak dapat tidur lena pada sebelah malam dan mengalami keletihan yang kronik, marilah kita ketepikan kesedihan kita, kembali bersemangat, terus pandang ke hadapan dan bersiap siaga untuk bertempur dengan Covid-19,” katanya.

Dalam tempoh sejam, ciapan beliau diulang ciap lebih 3,000 kali dan menerima ratusan kata-kata semangat daripada pengguna Twitter. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!