Perak akan percepat vaksinasi pertengahan Jun
IPOH - Proses pemberian vaksin Covid-19 di Perak akan dipercepatkan pada pertengahan Jun depan dengan penglibatan hospital dan klinik swasta.
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin berkata, beberapa hospital dan klinik swasta sudah mendaftar serta dilantik untuk program imunisasi di bawah Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS).
Menurut beliau, kaedah temu janji bagi suntikan vaksin tersebut akan mengguna pakai operasi sama seperti PPV awam mengikut giliran di dalam MySejahtera dan fasa yang ditetapkan.
"Dengan penglibatan pusat perubatan swasta, kita yakin ia akan membantu mempercepatkan urusan vaksinasi di Perak terutama bagi daerah-daerah besar seperti Kinta, Manjung serta Larut Matang dan Selama.
"Kita jangkakan tarikh operasi pemberian vaksin melibatkan hospital dan klinik swasta ini akan bermula pada pertengahan Jun, namun ia tertakluk kepada kesediaan PPVHS," katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mohd Akmal berkata, jumlah temu janji bagi suntikan vaksin di PPVHS akan bergantung kepada keupayaan vaksinator dan kapasiti di lokasi berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan Mohd Akmal berkata, sehingga kini seramai 828,881 (42.9 peratus) sudah mendaftar sebagai penerima vaksin di negeri ini.
Katanya, berdasarkan data harian vaksinasi pada 28 Mei 2021, sebanyak 258,958 temu janji dikeluarkan dan daripada jumlah itu, seramai 237,204 menerima suntikan manakala 90,759 lagi lengkap dos kedua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!