Legenda Kampung Serigala
HULU BERNAM - Kampung Orang Asli Serigala terletak kira-kira 30 kilometer dari Kuala Kubu Bharu dan 10 kilometer dari Tanjung Malim. Apa yang menariknya kampung ini mempunyai kisahnya tersendiri.
Difahamkan kampung itu diteroka sekitar lebih 150 tahun dahulu yang ketika itu hanya mempunyai empat rumah dibina menggunakan kayu hutan beratapkan daun nipah.
Bagi merungkai disebalik nama Kampung Serigala, Sinar Harian menemui generasi keempat penduduk asal kampung itu ialah sepasang suami isteri masing-masing berusia 78 tahun dan 74 tahun.
Berdasarkan kad pengenalan mereka ialah Harun Anak Hitam, dilahirkan pada 1941, namun kebiasaan masyarakat terdahulu mendaftar lewat dari tarikh kelahiran sebenar.
Harun adalah Tok Batin keempat selepas mewarisi gelaran itu daripada bapa saudara dikenali Ton Batin Busu yang diperturunkan datuk dan moyang.
Teori generasi mendefinasikan bahawa setiap generasi berlaku dalam tempoh 25 tahun.
Apabila Harun dilahirkan pada 1941 sebagai generasi keempat, ini bermakna generasi pertama (moyang Harun) mendiami kampung tersebut sekurang-kurangnya 75 tahun terdahulu iaitu sekitar 1866.
Namun usia sebenar kampung tersebut tidak dapat dipastikan kerana tiada sebarang catitan yang direkodkan secara rasmi.
Asal-usul penghijrahan generasi pertama dari suku kaum Semai itu juga tidak dapat dipastikan.
Terserempak sekumpulan serigala
Harun mendirikan rumah tangga dengan Gedah Hitam dari Kampung Orang Asli Changkat Bintang pada usia belasan tahun dan dikurniakan 18 anak (tujuh lelaki dan 11 peremuan) dengan kini 43 cucu.
Berdasarkan penceritaan dari mulut ke mulut bermula dari moyang Harun, kampung berkenaan diberi nama Kampung Serigala sempena peristiwa yang berlaku kepada penduduk asal itu.
Harun berkata, menjadi rutin harian beberapa lelaki termasuk moyangnya ke hutan untuk memburu menggunakan sumpit di laluan Bukit Arang menghala ke Sungai Tengi.
"Satu hari selepas memburu, mereka berhenti bermalam dan membakar cikah (sejenis monyet) untuk dimakan.
"Ketika sedang membakar cikah, tiba-tiba datang sekumpulan serigala.
"Difahamkan sebelum ini penduduk tak pernah terjumpa serigala di hutan tapi mungkin bau cikah bakar menarik perhatian haiwan liar ini," katanya.
Harun berkata, kumpulan serigala itu berjaya dihalau dan sejak daripada kejadian tersebut, penduduk seringkali terserempak dengan haiwan terbabit.
Menurutnya, kebiasaan anak lelaki Orang Asli memburu di hutan seawal usia 10 tahun dan dia pernah beberapa kali terserempak kumpulan serigala.
"Serigala ini yang berwarna kuning kemerahan tapi tidak pernah menyerang atau mencederakan penduduk kerana kalau jumpa, ia akan lari.
"Kawan-kawan seusia saya semuanya sudah meninggal dunia dan masa kecil, kami guna Bahasa Semai tapi bila belasan tahun baru tahu Bahasa Melayu selepas bergaul dengan orang melayu.
"Kampung ini berada dalam hutan tebal dan dulu kalau nak ke Tanjung Malim ambil masa dua jam berjalan kaki," katanya.
Harun berkata, kumpulan serigala itu semakin sukar dijumpai selepas penempatan kampung bertambah.
Kampung terpencil
Cerita itu diperakui tok batin keenam, Ahmad Bah Ngah yang merupakan menantu kepada Harun dan menyandang jawatan tersebut sejak empat tahun lalu.
Ahmad berkata, dia berasal dari Pos Betau, Kuala Lipis, Pahang dan menetap di Kampung Orang Asli Serigala pada 1987 selepas berkahwin dengan gadis generasi kelima kampung berkenaan, Silah Harun, 49.
Menurutnya, ketika itu hanya terdapat lima rumah penduduk menggunakan bekalan air perigi tanpa elektrik selain jalan tanah merah.
#huluselangor #hulubernam Kehadiran sekumpulan serigala yang dilihat buat kali pertama menjadi sejarah awal nama Kampung Orang Asli Serigala. [ARTIKEL PENUH: https://www.sinarharian.com.my/article/14123/EDISI/Selangor-KL/Legenda-Kampung-Serigala ] Laporan: MOJO Sinar Harian Selangor MOHD RIDZUAN ABU HASSAN
Posted by Sinar Harian Edisi Selangor & KL on Wednesday, March 6, 2019
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!