Terbuka Austria: Tujuh lagi pemain negara mara
EMPAT beregu lelaki dan tiga beregu wanita negara memulakan langkah kanan pada kejohanan Terbuka Austria apabila masing-masing berjaya melepasi cabaran pusingan pertama pada aksi di Raiffeisen Sportpark di Graz.
Gandingan beregu lelaki Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe mendahului senarai selepas mengatasi pasangan tuan rumah Simon Bailoni-Adi Pratama 21-17, 21-18 untuk mengesahkan slot ke pusingan kedua bertemu wakil Denmark Emil Lauritzen-Mads Vestergaard, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bwfbadminton.com.
Rentak itu diteruskan Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri yang menundukkan pasangan dari Indonesia Ghana Muhammad Al Ilham-Dejan Ferdinansyah dengan keputusan 21-16, 21-18 sekali gus bakal berdepan pilihan ketiga kejohanan dari Perancis Fabien Delrue-William Villeger.
Giliran Justin Hoh-Mohd Fazriq Mohamad Razif pula mencipta sensasi apabila melakar kemenangan mudah 21-14, 21-6 ke atas wakil tuan rumah Luca Froschauer-Michael Schausberger sebelum Chang Yee Jun-Chia Wei Jie menang ke atas gandingan Republik Czech Ondrej Kral-Adam Mendrek 21-15, 21-13.
Kedua-dua gandingan negara itu akan berdepan cabaran wakil Denmark di pusingan kedua dengan Justin-Mohd Fazriq bakal membuat perhitungan menentang Mads-Pieler Kolding-Frederik Sogaard sementara Yee Jun-Wei Jie bertemu Andreas Sondergaard-Jesper Toft.
Sementara itu, dalam aksi beregu wanita, pasangan kembar Cheng Su Hui-Cheng Su Yin terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pasangan Perancis Falvie Vallet-Emilie Vercelot 13-21, 21-15, 21-12 untuk bertemu pilihan keempat Aline Muller-Jenjira Stadelmann dari Switzerland.
Gandingan Low Yeen Yuan-Valeree Siow dan Anna Cheong Ching Yik Cheong-Yap Cheng Wen pula mudah menumpaskan lawan masing-masing untuk menempah slot beraksi di pusingan kedua yang dijadual bermula, lewat malam ini.
Selepas mengatasi wakil Hungary Reka Sarosi-Bianca Schiester 21-12, 21-14 di pusingan pertama, cabaran getir menanti Yeen Yuan-Valeree apabila dijadual bertemu pilihan ketiga dari Republik Czech Alzbeta Basova-Michaela Fuchsova.
Sementara itu, rintangan getir sama perlu ditempuhi Anna-Cheng Wen yang menewaskan gandingan Estonia Catlyn Kruus-Ramona Uprus 21-10, 21-6 apabila bakal berdepan pilihan kedua yang juga wakil tuan rumah Serena Au Yeong-Katharina Hochmeir.
Terdahulu, empat wakil negara termasuk tiga beregu campuran diketuai juara Kejohanan Antarabangsa Slovenia 2021 Choong Hon Jian-Toh Ee Wei mara ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan masing-masing manakala perseorangan lelaki Justin Hoh menjadi wakil tunggal negara dalam acara perseorangan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!