Bapa cuai, tertidur punca dua anak berkeliaran waktu malam

Bapa akui cuai, tertidur punca dua anak kecil berkeliaran waktu malam. - Foto Facebook
Bapa akui cuai, tertidur punca dua anak kecil berkeliaran waktu malam. - Foto Facebook
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang bapa mengakui disebabkan kecuaiannya tidur terlalu lena menjadi punca dua anak perempuannya berusia satu dan tiga tahun berkeliaran tanpa pengawasan di sekitar Kampung Melayu Kulai di Kulai pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, keberadaan dua kanak-kanak tempatan itu yang dikesan berkeliaran pada jam 11.50 malam hasil aduan orang awam sebelum polis bergegas ke lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun hasil pemeriksaan fizikal yang dilakukan, kami dapati tiada sebarang kecederaan yang disyaki akibat didera atau trauma terhadap kanak-kanak terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, susulan kejadian itu pihaknya bertindak mengesan ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit sebelum didatangi seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun, 30 minit kemudian yang mengaku dia adalah bapa kandung mangsa.

Katanya, hasil dokumentasi mendapati lelaki itu merupakan bapa dan penjaga yang sah serta mengakui telah cuai dalam menjaga kedua-dua anaknya itu kerana tertidur berikutan isterinya yang berusia 18 tahun bekerja syif malam.

Beng Yeow berkata, kanak-kanak terbabit didapati keluar kira-kira 50 hingga 100 meter dari rumah mereka.

Menurutny, polis telah memberikan amaran keras kepada bapa kandung dua kanak-kanak itu dan mengucapkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dengan segera.

Sebelum itu, tular di media sosial rakaman video yang menunjukkan dua kanak-kanak terbabit ditemukan pihak polis dan orang awam di tepi jalan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!