Konate penawar duka Liverpool
LIVERPOOL membuat persiapan awal bagi menghadapi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan selepas membawa masuk pemain pertahanan RB Leipzig, Ibrahima Konate.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata, dia sudah lama memantau perkembangan prestasi Konate dan optimis pemain berusia 22 tahun itu mampu menjadi tonggak masa depan The Reds.Malah, Klopp menyifatkan kehadiran Konate ke Anfield dengan harga perpindahan 36 juta pound (RM211 juta) bakal memberi ‘nilai tambah’ di barisan pertahanan Liverpool.
“Saya gembira dapat membawa masuk pemain muda berkualiti. Ibrahima merupakan seseorang yang sudah lama saya kagumi, saya melihat potensinya sejak dia di Sochaux.
“Selepas kami menghadapi masalah kecederaan bek tengah musim ini, saya melihat ia adalah posisi yang perlu kami perkuatkan walau apa cara sekalipun.
“Kehadiran Ibrahima akan meningkatkan kualiti sedia ada. Fizikalnya amat mengagumkan, dia pantas, kuat dan ada kelebihan dengan bola tinggi,” katanya.
Pemain kelahiran Perancis berusia 22 tahun itu akan menyertai The Reds pada 1 Julai depan sebaik selesai proses dokumentasi dan pemeriksaan perubatan.
“Saya teruja dapat menyertai kelab besar seperti Liverpool yang mempunyai sejarah hebat bola sepak Inggeris dan Eropah. Ini merupakan satu pengalaman baharu buat saya.
“Sejujurnya, saya telah bekerja keras sejak beberapa tahun lalu untuk berada pada tahap ini. Apa pun terima kasih kepada semua pemain, jurulatih, pengurusan dan penyokong RB Leipzig,” ujar Konate.
Musim ini, Liverpool berdepan kesukaran mempertahankan trodfi EPL selepas kehilangan tiga bek kental - Virgil van Dijk, Joel Matip dan Joe Gomez.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!