Juventus kembali tagih sentuhan Allegri

Allegri
Allegri
A
A
A

MASSIMILIANO Allegri diumum secara rasmi kembali ke Juventus buat kali kedua sebagai ketua jurulatih hanya beberapa jam selepas Andrea Pirlo dipecat sebagai pengendali kelab Turin itu.

Sejurus pemecatan Pirlo, The Bianconeri tidak membuang masa dengan mendedahkan Allegri kembali sebagai pengendali kelab Itali itu yang gagal mempertahankan kejuaraan Serie A musim ini.

“Massimiliano Allegri kembali membimbing Juventus. Allegri sudah cukup mengenali Juventus dan mulai hari ini, dia akan memulakan misi baharu dengan kelab ini.

“Apa yang telah dicapai Allegri ketika era pertamanya membimbing Juventus kini menjadi sejarah. Lima gelaran Scudetto (Serie A), empat kejuaraan Piala Itali dan dua trofi Piala Super sudah cukup membuktikan kehebatannya.

“Malah, dua kali kejayaan mara ke final Liga Juara-Juara dalam tempoh tiga musim menyerlahkan lagi kredibilitinya sebagai jurulatih berkaliber di Itali dan Eropah,” kata Juventus dalam satu kenyataan

Allegri yang dikaitkan dengan Inter Milan dan Real Madrid sebelum bersetuju menyertai bekas kelabnya, tidak menerajui mana-mana kelab sejak meninggalkan Juventus dua tahun lalu.

Pengendali kelahiran Itali itu dianggap calon terbaik bagi menggantikan Pirlo, sekali gus mengembalikan semula reputasi gah Juventus yang meraih gelaran Serie A sembilan kali berturut-turut sebelum dikecewakan Inter Milan ini.

Pada Jumaat, Juventus membuat keputusan mengejut memecat Pirlo yang masih mempunyai baki kontrak selama setahun susulan prestasi buruk kelab Turin itu musim ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!